Malaysia naik ke tangga 15 daya saing dunia, bukti langkah kerajaan berhasil: PMX

June 19, 2026 · Isu semasa

Malaysia mencatat peningkatan membanggakan dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia, menurut laporan terbaru Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan usaha kerajaan memperkukuh kecekapan pentadbiran dan meningkatkan tahap pelaksanaan dasar mula menunjukkan hasil yang positif.

Ketika bercakap kepada media Malaysia pada sidang media penutup lawatan kerja dua hari sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, beliau menyifatkan peningkatan tersebut sebagai petanda bahawa negara berada di landasan yang betul.

“Saya ambil kesempatan ini untuk mengulas laporan yang baru diterbitkan hari ini, yang telah diumumkan di Kuala Lumpur, iaitu daya saing Malaysia terus melonjak ke tangga 15. Alhamdulillah.

“Maknanya meningkat lapan anak tangga berbanding tahun sebelumnya,” katanya dipetik laporan Bernama.

Anwar berkata pencapaian itu adalah hasil tumpuan kerajaan terhadap usaha memperbaiki kecekapan jentera pentadbiran serta komitmen semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan dasar negara.

“Maknanya kalau kita fokus baiki tahap kecekapan dan kesungguhan, inilah hasilnya. Saya juga mengucapkan tahniah kepada penjawat awam negara dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri yang mengawasi serta membantu,” katanya.

Menurut laporan IMD, peningkatan kedudukan Malaysia didorong oleh prestasi lebih kukuh dalam empat teras utama penilaian iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Malaysia menduduki tempat keempat dunia bagi kategori prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga kepada kedudukan ke-14. Kecekapan perniagaan pula melonjak 16 anak tangga ke tangga ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga kepada kedudukan ke-33.

IMD menyatakan pengukuhan merentasi semua teras tersebut menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia tahun ini.

Pencapaian terbaharu itu meneruskan trend peningkatan Malaysia dalam ranking global berkenaan.

Pada 2025, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi selepas melonjak 11 anak tangga berbanding kedudukan ke-34 daripada 67 ekonomi pada 2024.

Penarafan Daya Saing Dunia IMD merupakan antara rujukan utama pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa dalam menilai keupayaan sesebuah negara mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan daya saing perniagaan.

Berita berkaitan
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
3 jam lalu· Isu semasa
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
17 jam lalu· Politik
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
18 jam lalu· Politik
CSA perkukuh kestabilan, buka ruang reformasi: PKR
18 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
22 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok