Malaysia raih potensi pelaburan RM8.13 bilion hasil lawatan PMX ke Itali

July 3, 2025 · Isu semasa

Sekurang-kurangnya RM8.13 bilion jumlah pelaburan berpotensi terhasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, yang berakhir hari ini.

Beberapa sektor utama dijangka menghasilkan pelaburan kepada negara semasa lawatan Anwar ke Itali, antaranya petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas.

Potensi eksport yang dijana pula berjumlah RM425 juta bagi produk oleokimia, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan dan makanan.

Mesyuarat dua hala itu membabitkan 41 syarikat dari Itali dengan 23 daripadanya membabitkan syarikat sektor pembuatan, sembilan perkhidmatan, dua perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.

Mengulas hasil lawatan itu, Perdana Menteri berkata, satu perkembangan menarik ialah hasrat Itali meningkatkan hubungan dua hala, juga Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN dengan melihat potensi ASEAN sebagai penggerak utama dalam kegiatan rantau serta ekonomi.

“Seperti mana kita sedia maklum, beberapa persetujuan kerangka dalam merancakkan kegiatan ekonomi dicapai, ada projek bersama antara PETRONAS dan syarikat Eropah berpangkalan di Itali yang mempunyai kekuatan dari segi biokimia dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) iaitu ENI.

“Termeterai perjanjian antara mereka dan sekarang kita nampak ada syarikat Jepun dan Indonesia, Pertamina mahu bersama. Sebaik sahaja dilancarkan nanti, ia adalah antara projek terbesar di rantau ini yang membabitkan CCUS dan biokimia,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja ke Itali, hari ini.

Audio sidang media itu turut dikongsikan dengan media tempatan di Kuala Lumpur.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Luar, Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Lawatan itu yang berakhir hari ini adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerjasama antara PERODUA dengan syarikat Itali, Magna Styer, membabitkan bateri kenderaan elektrik (EV) juga dijangka dimeterai selewat-lewatnya Disember depan, sekali gus menunjukkan kecenderungan syarikat daripada republik itu yang yakin dengan syarikat negara ini.

Selain itu, katanya, kolaborasi dan pelaburan grid elektrik antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa syarikat termasuk APG, dengan tumpuan jana kuasa dari Vietnam ke negara ini melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor ke Singapura yang mencapai maksud kerjasama ASEAN.

“Seperti dijelaskan di Parlimen oleh Menteri Pertahanan, antara kerjasama kukuh kita dengan Itali adalah dengan keputusan kita untuk membeli dua pesawat Leonardo bagi kegunaan rondaan maritim oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Begitu juga 28 helikopter Leonardo AW149, selain perbincangan terperinci Menteri Pertahanan dan rakan sejawat ditekankan soal latihan pemindahan teknologi dan pemusatan kegiatan latihan serta penerbangan awal di Lapangan Terbang Batu Berendam,” katanya.

Perdana Menteri berkata, selain itu, dalam perbincangan awal bersama Timbalan Perdana Menteri Itali menyentuh soal pelaburan, perdagangan dan kerjasama antara EU dan ASEAN, selain soal Gaza dan Iran.

Katanya, dalam pertemuan itu, Malaysia menegaskan pendirian untuk menjamin keadilan berhubung keganasan Israel ke atas Gaza dan pencerobohan terhadap Iran.

“Pemusatan perbincangan kita adalah kedamaian yang boleh menjamin keselamatan rantau. Dalam pertemuan kemuncak dengan Meloni, tentulah kita menegaskan beberapa projek yang sedang dalam perbincangan, umpamanya projek besar antara PETRONAS dengan ENI.

“Kita tegaskan juga kepada Perdana Menteri Itali, pandangan mengenai Gaza dan mengucapkan terima kasih atas persetujuan mereka dalam kenyataan meminta hentikan serangan ke atas Gaza serta beri laluan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Berita berkaitan
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
19 jam lalu· Isu semasa
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
19 jam lalu· Isu semasa
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
23 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
23 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
13 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
16 jam lalu · Isu semasa
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
16 jam lalu · Isu semasa
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
16 jam lalu · Isu semasa
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok