Malaysia tegas pertahan kedaulatan, bantah campur tangan Ahli Kongres AS: Fahmi

July 22, 2026 · Isu semasa

Kerajaan Malaysia menyifatkan tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mengkritik pendirian negara berhubung cadangan mengusir rakyat Israel sebagai satu perbuatan biadab dan mencampuri urusan dalaman negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang mempunyai hak mutlak menentukan dasar imigresen serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau syarat kemasukan.

“Kita tidak akan berdiam diri dan akan menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS. Jangan campuri urusan dalaman negara, termasuk isu imigresen Malaysia. Negara kita berdaulat dan kita mempunyai kuasa serta hak untuk menghalau atau mengusir mana-mana individu yang melanggar syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan ke sesi latihan kompang dan permainan gasing di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin.

Fahmi menegaskan kerajaan akan memastikan pendirian Malaysia berhubung isu itu disampaikan secara rasmi kepada Kedutaan AS.

Sebelum ini, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS daripada Parti Demokrat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mahu rakyat Israel berada di Malaysia diusir segera.

Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss. Menerusi surat yang dikongsi Landsman di Facebook, kumpulan itu menyuarakan kebimbangan terhadap pendirian kerajaan Malaysia.

Mengulas perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kerajaan turut mengambil pendirian tegas terhadap isu Network School di Forest City yang dikaitkan dengan dakwaan kewujudan individu memiliki dua kerakyatan, termasuk didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Menurutnya, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu sepakat tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Menteri Dalam Negeri memaklumkan proses siasatan terhadap 11 individu yang dipercayai memiliki dua kerakyatan masih diteruskan. Setakat ini, Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) belum mengenal pasti sebarang kesalahan, namun siasatan tetap berjalan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan hasil siasatan terhadap 266 individu oleh Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa setakat ini tidak menemukan mana-mana warga Israel dalam kumpulan yang diperiksa.

Isu Network School menjadi perhatian selepas timbul dakwaan premis berkenaan dihuni individu yang mempunyai dua kerakyatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan berkaitan pematuhan undang-undang imigresen dan keselamatan negara.

Kerajaan sebelum ini menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang Malaysia.

Berita berkaitan
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
October 28, 2026· Isu semasa
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
10 jam lalu· Isu semasa
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
24 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
24 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
October 28, 2026 · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
October 28, 2026 · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
7 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
8 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok