Kapal tangki kedua Malaysia dijangka tiba hujung minggu ini.
Putrajaya menafikan dakwaan tular di media sosial Malaysia membayar tol untuk laluan kapal PETRONAS melalui Selat Hormuz, sambil menegaskan keadaan operasi ketika ini masih terkawal.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibentangkan oleh PETRONAS dan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini dan hasil penelitian mendapati dakwaan tersebut tidak berasas, ia berkemungkinan berpunca daripada salah faham terhadap laporan berita tertentu.
“Kita mengambil maklum terdapat beberapa kapal PETRONAS yang masih dalam perjalanan dan sedang menunggu giliran untuk melepasi Selat Hormuz, namun kita tidak membayar sebarang tol seperti yang didakwa,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
Beliau menambah, kekeliruan itu mungkin timbul akibat tajuk berita yang disalah tafsir oleh warganet.
“Mungkin berpunca daripada tajuk berita yang disalah erti, tetapi hakikatnya kita tidak membayar apa-apa tol dan keadaan masih terkawal,” katanya.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab dan menjadi antara laluan utama bagi penghantaran minyak global.
Sebarang gangguan atau perubahan dasar di laluan ini sering mendapat perhatian kerana boleh memberi kesan kepada pasaran tenaga antarabangsa, termasuk operasi syarikat minyak negara seperti PETRONAS.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut mengulas mengenai penyebaran grafik palsu berhubung harga minyak tempatan.
Beliau menegaskan hanya Kementerian Kewangan mengeluarkan pengumuman rasmi harga mingguan bahan api.
“Pengumuman harga RON95, RON97 dan diesel biasanya dibuat setiap Rabu selepas jam 6 petang. Selain daripada itu, sebarang grafik atau maklumat yang tersebar adalah tidak benar atau palsu,” katanya.
Kerajaan menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
RM14 bilion wang tidak dituntut, ramai tak sedar: Amir Hamzah
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum