Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu.
Anwar Ibrahim menegaskan ucapan Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu, pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) di Tangkak baru-baru ini tidak ditujukan untuk menyindir mana-mana pihak, termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebaliknya, menurut Pengerusi PH itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu hanya menyuarakan pandangan agar pihak ketiga tidak diheret ke dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung.
Anwar berkata semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan keadaan atau mengaitkan institusi diraja dengan persaingan politik.
“Kita usah panaskan suasana. Dia (Mohamad) beri pandangan mengenai campur tangan pihak ketiga dalam pilihan raya.
“Saya mempunyai perhubungan yang sangat baik dengan TMJ dan persefahaman kami juga sangat baik. Jadi, kita jalankan pilihan raya ini antara parti-parti yang bertanding, jangan kaitkan institusi Raja,” katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREATE) hari ini.
Kenyataan Anwar dibuat susulan kontroversi yang tercetus selepas ucapan Mat Sabu pada program PH di Tangkak malam kelmarin mengundang pelbagai reaksi.
Beberapa pihak mendakwa kenyataan itu mempunyai unsur sindiran terhadap TMJ, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam media sosial dan arena politik.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan TMJ berada pada tahap yang baik serta tidak wajar dipolemikkan.
Beliau berkata fokus utama semua pihak ketika ini seharusnya tertumpu kepada memastikan proses demokrasi berjalan secara matang dan harmoni tanpa menimbulkan isu yang boleh menjejaskan perjalanan kempen pilihan raya.
“Pilihan raya perlu berlangsung dalam suasana yang sihat dan tertib. Yang penting adalah persaingan idea, dasar dan tawaran kepada rakyat,” katanya.
PRN Johor kali ini menjadi tumpuan susulan persaingan sengit antara gabungan utama politik negara untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Dalam suasana kempen yang semakin rancak, pelbagai isu dan kenyataan pemimpin politik sering menjadi perhatian serta perbahasan awam.
Anwar berkata semua pihak perlu menghormati peranan institusi diraja dan pada masa sama memastikan kempen politik tidak tersasar daripada matlamat sebenar iaitu menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat Johor.
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar