Kes bunuh.
Misteri kehilangan seorang usahawan sejak akhir bulan lalu terungkai selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh mangsa yang mayatnya ditemukan di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, awal bulan ini.
S. Yogesvaran, 40, Lin Yong Ming, 26, N. Achutan, 32, dan How Han Wei, 33, bagaimanapun tidak membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mahkamah tidak merekodkan pengakuan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tidak boleh dijamin.
Keempat-empat mereka didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara 2.35 petang, 29 Julai lalu di Jalan Emas Putih 2, Taman Sri Skudai, Johor Bahru hingga kira-kira 12.30 tengah hari, 3 Ogos di Sungai Tanjung Sembrong, Batu Pahat.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim. Achutan diwakili peguam S. Sean Dodley, manakala tiga lagi tertuduh diwakili peguam Freda Sabapathi.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat, DNA, forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan analisis telefon.
Kes itu mendapat perhatian selepas polis menemui mayat seorang lelaki berusia 39 tahun terapung di Sungai Tanjung Sembrong dengan jasad dililit jaring. Lima suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dijerut pada bahagian leher menggunakan tali sebelum dibawa menaiki kenderaan. Kedua-dua tangannya dipercayai diikat menggunakan pita pelekat sebelum jasadnya dibalut dengan jaring.
Lima ketul batu turut ditemukan pada mayat, dipercayai digunakan bagi membantu menenggelamkan jasad mangsa.
Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya pada 29 Julai lalu. Keluarga kemudian menemukan kenderaan milik mangsa di Johor Bahru sebelum siasatan membawa kepada penemuan mayat di Sungai Tanjung Sembrong.
Kes itu kini memasuki fasa pendakwaan sementara polis melengkapkan siasatan forensik dan bukti berkaitan.
Insiden bom Selatan Thailand, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan
Kos sara hidup, pelaburan jadi fokus Belanjawan 2027: Fahmi
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri