MCMC perketat tindakan, kandungan berbahaya perlu disekat dalam tempoh 24 jam

July 16, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mewajibkan semua Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan mengikut tempoh ditetapkan, termasuk menyekat akses kepada kandungan berkeutamaan tinggi dalam masa 24 jam.

Langkah itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi membendung penularan kandungan palsu, maklumat palsu dan maklumat salah sebelum ia tersebar dengan lebih meluas.

Kementerian Komunikasi memaklumkan kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan perlu dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh sehari bagi membolehkan proses penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dijalankan.

“Bagi kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan, kandungan terbabit hendaklah dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dilaksanakan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan kepada soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin mengetahui mekanisme kerajaan mengawal penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah, khususnya dalam tempoh kritikal sebelum kandungan terbabit tular.

Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Mei 2026, MCMC mengemukakan 63,215 permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan palsu, dengan 54,626 kandungan atau 86 peratus berjaya diturunkan.

Selain penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang dilancarkan pada 28 Januari 2025 bagi memudahkan orang ramai menyemak kesahihan sesuatu maklumat.

Sehingga 31 Mei lalu, AIFA yang menyokong portal Sebenarnya.my telah memproses 197,403 mesej dengan purata 404 mesej setiap hari. Dalam tempoh sama, sebanyak 1,016 artikel semakan fakta turut diterbitkan.

Usaha meningkatkan literasi digital juga diteruskan menerusi Kempen Internet Selamat di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti. Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 1,938 program dilaksanakan di seluruh negara melibatkan lebih 2.13 juta peserta.

“Melalui pendekatan yang menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama strategik dengan penyedia platform, pemanfaatan teknologi serta pemerkasaan literasi digital, kerajaan komited memastikan penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah dapat dibendung secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan ekosistem digital negara,” menurut kementerian itu.

Berita berkaitan
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
3 jam lalu· Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
5 jam lalu· Isu semasa
Isu cip AI: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan AS
16 jam lalu· Isu semasa
Soalan-Soalan Lazim (FAQ): Apakah itu MySiren?
November 23, 2026· Rencana
Lagi Isu semasa terkini
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
3 jam lalu · Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
5 jam lalu · Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
5 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
13 jam lalu · Isu semasa
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
3 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok