MYEG digantung, RM314 juta hasil kerajaan masih tertunggak

October 5, 2026 · Isu semasa

Perkhidmatan pembayaran melalui MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd digantung selepas Kumpulan MYEG gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal menyelesaikan tunggakan meskipun 35 notis peringatan sudah dikeluarkan selain beberapa sesi libat urus diadakan sejak Mei lalu.

Menurutnya, MYEG turut menyerahkan cek bernilai RM231 juta bertarikh 30 September, namun bayaran itu tidak dapat diproses pihak bank susulan arahan daripada syarikat berkenaan.

“Justeru, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa mengambil langkah drastik menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MYEG dan Zetrix AI bermula 5 Oktober,” katanya pada sidang media hari ini.

Loke turut menafikan laporan media mendakwa tunggakan bayaran MYEG sudah berlaku sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sebelum Mei lalu memang terdapat tunggakan dari semasa ke semasa, namun ia diselesaikan selepas syarikat menerima notis peringatan daripada kerajaan.

“Tetapi tunggakan sebanyak RM314 juta adalah sejak Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lepas dan bukannya tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan MYEG sebagai ejen pemungut hasil kerajaan akan kekal digantung sehingga tunggakan berkenaan diselesaikan.

Pada masa sama, kerajaan sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap syarikat terbabit dengan perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan agensi pusat berkaitan.

“Kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan kewajipan kontrak, malah menyalahi undang-undang kerana mereka mengutip wang itu bagi pihak kerajaan,” katanya.

Loke turut menegaskan tindakan terhadap MYEG tidak mempunyai kaitan dengan faktor pemilikan syarikat atau hubungan dengan mana-mana parti politik.

“Saya memperlakukan semua syarikat, setiap ejen sebagai sama. Soal ia berkaitan dengan parti mana, itu bukan pertimbangan kami.

“Faktanya ialah ada tunggakan yang sepatutnya menjadi obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil,” katanya.

MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ sejak 2000 bagi beberapa perkhidmatan termasuk pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan, Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta pembayaran saman secara elektronik.

Sebagai ejen pemungut, syarikat bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan setiap hari mengikut ketetapan, iaitu dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi dibuat.

Berita berkaitan
SPRM, polis siasat isu tunggakan RM314 juta MyEG, Zetrix kepada JPJ
18 jam lalu· Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
October 12, 2026· Isu semasa
Hasil kerajaan dijangka cecah RM380.8 bilion pada 2027: MoF
October 9, 2026· Isu semasa
MYEG digantung bukan isu politik: Loke
October 5, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Lelaki Islam, ibu ditahan JAIS berhubung ritual agama lain
14 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok
16 jam lalu · Isu semasa
MCMC pantau dakwaan maklumat palsu berkaitan isu Belanjawan 2027
18 jam lalu · Isu semasa
Saifuddin: Sistem pendaftaran UNHCR cetus masalah pengurusan pelarian
18 jam lalu · Isu semasa
Lapangan Terbang Riyadh Ditutup Hingga 17 Oktober
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok