Ketua Pejabat NADI MCMC Dr Mohd Arif Adenan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan melahirkan seorang jurutera arahan kecerdasan buatan (AI) di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menerusi program ‘1Prompt Engineer, 1NADI’, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada teknologi AI tanpa perlu mengikuti kursus berbayar.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan literasi digital rakyat, khususnya komuniti luar bandar, selain membuka peluang pekerjaan berasaskan teknologi yang boleh dilakukan secara jarak jauh.
Menurutnya, peserta akan mengikuti latihan intensif menggunakan modul yang diiktiraf Akademi MIMOS sebelum berperanan sebagai ejen perubahan di kawasan masing-masing.
“Kalau komuniti mahu belajar mengenai AI, mereka tidak perlu menghadiri kelas yang mahal. Mereka boleh mendapatkan bimbingan daripada jurutera arahan yang ditempatkan di setiap NADI,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata, usaha itu juga bertujuan melahirkan lebih ramai bakat AI di luar bandar supaya golongan muda mempunyai peluang membina kerjaya dari kawasan tempat tinggal sendiri tanpa perlu berhijrah ke bandar.
Selain meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap AI, Mohd Arif berkata, kewujudan jurutera arahan di setiap NADI dapat membantu orang ramai menggunakan teknologi itu secara selamat dan bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan serta penipuan dalam talian.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada transformasi NADI 2.0 yang mengubah fungsi pusat itu daripada sekadar menyediakan akses internet kepada hab pembangunan komuniti menerusi lima teras Perkhidmatan Pintar NADI, meliputi keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan, kesedaran digital dan keselamatan siber serta penyebaran maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
Mohd Arif memaklumkan, sejak Perkhidmatan Pintar NADI diperkenalkan pada September 2024, lebih 21,000 ahli komuniti telah menyertai program keusahawanan yang turut membantu mereka mendapatkan akses pembiayaan, pensijilan halal dan penambahbaikan pembungkusan produk.
Dalam bidang pendidikan pula, seramai 42,000 pelajar mengikuti Program Tuisyen Rakyat secara percuma dengan 65 pelajar daripada keluarga B40 berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan lebih 147,000 pemeriksaan kesihatan asas melibatkan tekanan darah, paras gula dan indeks jisim badan (BMI) telah dilaksanakan di NADI seluruh negara.
“Melalui NADI 2.0, kita mengubah pendekatan dengan menjadikan bangunan NADI sebagai nukleus. Orang ramai tidak semestinya perlu datang ke NADI kerana perkhidmatan kini dibawa terus kepada komuniti melalui NADI on Wheels yang dilengkapi teknologi satelit,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada transformasi itu, MCMC turut menyediakan portal nadi.my yang membolehkan orang ramai mengakses kandungan pembelajaran, latihan keusahawanan dan pelbagai modul digital secara dalam talian.
NADI diwujudkan MCMC bagi merapatkan jurang digital, terutama di kawasan luar bandar, dan kini terus diperkasa sebagai hab pembangunan komuniti selaras dengan perkembangan teknologi digital serta keperluan rakyat.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri