PAS cerai Bersatu kerana mahu hidupkan MN dengan UMNO: Marzuki

June 11, 2026 · Politik

Usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kembali antara PAS dan UMNO didakwa menjadi punca utama keretakan hubungan antara PAS dan Bersatu, bukannya disebabkan sikap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin seperti didakwa oleh 13 Ahli Parlimen parti itu.

Bekas pembantu perdana menteri ke lapan, Marzuki Mohamad itu berkata tuduhan kononnya Muhyiddin bersikap sombong sehingga menyebabkan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu tidak disertakan dengan penjelasan yang jelas.

“13 Ahli Parlimen Bersatu mendakwa sikap sombong Muhyiddin menjadi sebab PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu. Apa yang sombong tidak diberitahu. Jadi, tak bolehlah saya ulas perihal sombong tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, beberapa isu yang sering dikaitkan dengan ketegangan antara PAS dan Bersatu seperti pertukaran Menteri Besar Perlis, isu akuan bersumpah (SD) di Negeri Sembilan, dakwaan kelemahan jentera pilihan raya serta pemecatan kumpulan RESET bukanlah faktor utama perpisahan kedua-dua parti.

Katanya, isu-isu tersebut sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak melihat penyelesaiannya mampu memberikan keuntungan politik.

“Jika isu-isu ini memberikan keuntungan politik apabila dapat diselesaikan, maka apa jua jalan dan kaedah akan dicari untuk menyelesaikannya.

“Tetapi jika ada jalan lain yang difikirkan lebih menguntungkan, buat apa menyelesaikan masalah yang tidak membawa keuntungan?” katanya.

Marzuki berpandangan hubungan PAS dan Bersatu mula menuju ke penghujung apabila PAS menggerakkan semula agenda MN bersama UMNO.

Beliau mendakwa situasi sama pernah berlaku ketika MN mula dibentuk beberapa tahun lalu apabila UMNO meletakkan syarat supaya PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Kenapa syaratnya mesti menyisihkan Bersatu? Jawapannya mudah sahaja, kerusi.

“UMNO mahu bertanding di kerusi-kerusi milik Bersatu dan tidak mahu melihat pengaruh Bersatu berkembang kerana kedua-dua parti bersaing merebut segmen pengundi yang sama,” katanya lagi.

Menurut beliau, dalam keadaan tersebut Bersatu menjadi pihak yang terpaksa dikorbankan bagi membolehkan hubungan PAS dan UMNO dipulihkan.

“Bersatu bukan menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu. Bersatu adalah penghalang kepada perkahwinan semula PAS dan UMNO,” katanya.

Marzuki turut mempertahankan Muhyiddin daripada dakwaan bersikap sombong dengan menyifatkan Presiden Bersatu itu sebagai seorang pemimpin yang tegas dan konsisten sejak dahulu.

Beliau juga membangkitkan kemungkinan wujud percaturan politik yang lebih besar di sebalik perkembangan semasa dalam blok pembangkang, termasuk beberapa peristiwa seperti Langkah Bangkok, isu SD di Negeri Sembilan dan keputusan Barisan Nasional bertanding secara solo pada pilihan raya negeri Johor.

Menurutnya, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak tertentu yang cuba meyakinkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberi kelebihan politik kepada kerajaan.

“PN sedang berpecah. Jika Bersatu tunduk kepada desakan 13 Ahli Parlimen yang menggesa Bersatu supaya keluar PN, hampir separuh sokongan kepada PN dalam pilihan raya akan hilang,” katanya.

Beliau berkata, UMNO masih mempunyai pilihan politik untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan, manakala PAS tidak lagi mempunyai ruang yang sama selepas hubungan dengan Bersatu terputus.

Bagaimanapun, Marzuki mengakui pandangan yang dikemukakannya hanyalah tafsiran peribadi berdasarkan perkembangan politik semasa.

“13 Ahli Parlimen yang menuduh Muhyiddin sombong ini sedang menjadi bidak-bidak di papan catur. Mereka sedang digerakkan ke hulu ke hilir oleh sang pencatur untuk kepentingan orang lain,” katanya.

Berita berkaitan
Aziz Bari gesa UMNO, PAS henti pertikai RCI Tabung Haji
17 jam lalu· Politik
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
20 jam lalu· Politik
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
21 jam lalu· Politik
Dua ADUN Bersatu sokong Wan Rosdy hingga PRN-16, parti beri restu
21 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
9 jam lalu · Politik
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
13 jam lalu · Politik
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
17 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
17 jam lalu · Politik
Dedah semua, jangan pilih-pilih laporan RCI TH demi kepentingan politik: AMK
20 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok