Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
PAS menegaskan parti itu sudah mempunyai calon sendiri untuk mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus menepis spekulasi bahawa Muhyiddin Yassin akan terus kekal memegang jawatan tersebut walaupun telah meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, keputusan untuk PAS mengambil alih kepimpinan PN bukan perkara baharu, sebaliknya telah dipersetujui lebih awal menerusi resolusi muktamar parti.
“Tak ada, tak ada, tak ada (Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN). Itu resolusi muktamar PAS. PAS memang ada calon kita,” katanya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang.
Menurut Abdul Hadi, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin serta memuktamadkan pelantikan pengerusi baharu gabungan itu.
Beliau menjelaskan kelewatan mesyuarat berkenaan, yang kini sudah melepasi tempoh tiga minggu sejak pengumuman pengunduran Muhyiddin, berkemungkinan berpunca daripada urusan pentadbiran dalaman.
“Mungkin dalam seminggu atau dua lagi perkara ini akan dimuktamadkan,” katanya ringkas.
Untuk rekod, PN merupakan gabungan parti pembangkang utama yang dianggotai PAS, Bersatu dan beberapa parti lain, dan memainkan peranan penting dalam landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Muhyiddin sebelum ini mengetuai PN ketika gabungan itu berada dalam fasa mencabar sebagai blok pembangkang di Parlimen.
Isu jawatan Pengerusi PN menjadi tumpuan susulan pengunduran Muhyiddin, dengan pelbagai spekulasi timbul mengenai hala tuju dan kepimpinan masa depan gabungan itu.
Kenyataan Abdul Hadi ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS bersedia mengambil peranan lebih besar dalam menentukan arah politik PN selepas ini.
PRN Melaka: Abang Long akan jalan 10km dekati pengundi Duyong
Najib kembali ke Penjara Kajang, tahanan rumah ditangguh
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
Tahanan rumah Najib ditangguh, AGC teliti isu undang-undang
Najib pulang ke rumah, Loke kekal dengan keputusan letak jawatan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum