Bekas pegawai khas Najib Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi dan seorang ahli perniagaan, Zamil Ibrahim.
Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati bekas pegawai khas Najib Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi dan seorang ahli perniagaan, Zamil Ibrahim, berkonspirasi menekan seorang pendakwah bebas bagi mendapatkan bayaran RM400,000 menerusi ugutan serta penyebaran kenyataan berunsur fitnah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, memutuskan kedua-dua defendan bertindak secara bersama dalam satu rancangan untuk mendapatkan wang daripada Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin, yang pernah mengendalikan kelas agama untuk Najib ketika bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Dalam alasan penghakiman setebal 39 muka surat, Mohd Aimi berkata, kewujudan konspirasi itu dibuktikan menerusi rakaman audio, pengakuan ketika pemeriksaan balas serta kronologi kejadian selepas Ahmad Husam enggan membuat pembayaran.
“Keterangan itu apabila diambil secara kumulatif, adalah bukti langsung wujudnya persepakatan antara defendan pertama dan kedua, dan bukannya andaian semata-mata.
“Ia menunjukkan kedua-dua defendan bertindak sebagai ‘pengarah’ bagi skim yang sama, dengan objektif bersama mendapatkan RM400,000 daripada plaintif,” katanya.
Mahkamah turut memutuskan kedua-dua defendan bertanggungjawab atas konspirasi untuk memudaratkan dan memfitnah plaintif, sekali gus membenarkan keseluruhan tuntutan saman yang difailkan Ahmad Husam.
Mahkamah mengarahkan mereka membayar ganti rugi keseluruhan RM433,000, selain kos sebanyak RM50,000.
Jumlah itu merangkumi RM200,000 ganti rugi am, RM200,000 ganti rugi teruk serta RM33,000 bagi kehilangan pendapatan Ahmad Husam susulan pembatalan kelas agama dan jemputan ceramah.
Pertikaian berkenaan bermula pada Mei 2023 apabila Muhammad Mukhlis memaklumkan kepada Ahmad Husam kononnya Najib mahu menyambung semula kelas agama dengannya di Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Muhammad Mukhlis mendakwa pendakwah itu tidak boleh mendapatkan kebenaran mengajar kerana kononnya sedang disiasat berhubung kes pecah amanah jenayah, penipuan dan pengubahan wang haram.
Beliau turut mendakwa dua pegawai polis dari Bukit Aman boleh menyelesaikan siasatan berkenaan dengan bayaran RM400,000.
Ahmad Husam enggan membuat pembayaran itu, namun Muhammad Mukhlis kemudian mendakwa sudah menyelesaikan jumlah berkenaan menggunakan wang yang kononnya dipinjam daripada adik Najib sebelum menuntut bayaran balik.
Mahkamah menerima rakaman audio yang menunjukkan Muhammad Mukhlis merujuk kepada tuntutan RM400,000 serta mengugut akaun bank milik isteri dan anak-anak Ahmad Husam boleh dibekukan.
Selain itu, rakaman perbualan antara Ahmad Husam dan Zamil di Purest Hotel, Sungai Petani pada 3 November 2024 turut menjadi bukti penting.
Dalam rakaman itu, Zamil mengaitkan Muhammad Mukhlis sebagai individu yang merancang skim berkenaan dengan menyebut: “Kepala dia Mukhlis la.”
Mahkamah turut mendapati Muhammad Mukhlis melabelkan Ahmad Husam sebagai “Ustaz Scammer” di Instagram, manakala Zamil menerbitkan dakwaan berkaitan penipuan, penyelewengan wang zakat dan derma awam serta salah laku seksual.
Hakim menolak pembelaan justifikasi dan komen adil yang dikemukakan kedua-dua defendan kerana dakwaan berkenaan tidak dibuktikan dan diterbitkan dengan niat jahat.
Ahmad Husam memfailkan saman pada 14 Disember 2023 selepas notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November tahun sama tidak mendapat maklum balas.
Keputusan membenarkan keseluruhan tuntutan itu dibuat pada 26 Ogos lalu, manakala alasan penghakiman bertulis diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman hari ini.
Peguam Ahmad Husam, Muhammad Asyraf Abd Aziz, mengesahkan keputusan berkenaan ketika dihubungi.
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
Johari tegur menteri gagal jawab soalan Ahli Parlimen
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan