Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail.
Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengakui mereka masih belum mengetahui identiti individu yang bakal didakwa dalam kes kematian pelajar tingkatan satu itu.
Dalam kenyataan media hari ini, barisan peguam tersebut menyatakan mereka menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa suspek, selaras dengan cadangan yang pernah mereka kemukakan pada 14 Ogos lalu.
“Pada masa itu, kami telah mencadangkan agar pendakwaan dilakukan terhadap individu yang terlibat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, memandangkan siasatan Bukit Aman menunjukkan terdapat bukti buli sebelum kejadian menimpa Zara,” jelas mereka.
Namun, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, peguam keluarga masih tidak mengetahui siapa suspek yang akan didakwa atau peruntukan undang-undang spesifik yang akan digunakan dalam pertuduhan tersebut.
Mereka berharap pendakwaan nanti akan dikaitkan secara langsung dengan kematian Zara dan menggunakan seksyen yang membawa hukuman berat jika sabitan kesalahan diperoleh.
Sebelum ini, AGC dalam kenyataan media mengesahkan beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina akan didakwa tidak lama lagi, berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh dalam siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.
Keluarga mangsa terus menuntut keadilan sambil berharap proses perundangan akan memberikan jawaban sebenar tentang punca kematian anak mereka.
Kerajaan perangi judi haram secara lebih agresif: PMX
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
MCMC berjaya tumpaskan sindiket Stesen Pangkalan Palsu di Johor
Kedudukan CPI Malaysia meningkat, usaha lawan rasuah tunjuk hasil: Anwar
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen