Kes mahkamah.
Seorang lelaki yang bekerja sebagai penangkap anjing dan seorang wanita dipercayai pemilik haiwan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap seekor anjing, 29 Julai lalu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S. Roghini Devi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.
Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menarik anjing sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah dan kedua-dua tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah memohon jaminan RM3,500 dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.
“Jaminan tidak seharusnya menjadi bentuk hukuman. Syarat tambahan juga menekan tertuduh yang belum didapati bersalah,” katanya.
Peguam itu turut memaklumkan anak guamnya sudah 22 tahun menetap di tempat sama.
Sementara itu, peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini berkata anak guamnya menanggung keluarga selain suaminya merupakan orang kurang upaya.
“Dia ibu kepada empat anak dan memohon jaminan RM3,500 tanpa syarat tambahan,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan kedua-duanya melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.
Kes disebut semula pada 8 Oktober depan.
Kes itu mendapat perhatian susulan peningkatan kes berkaitan kebajikan haiwan, termasuk dakwaan penderaan dan tindakan terhadap haiwan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kesakitan. Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan menyebabkan penderitaan terhadap haiwan.
Insiden bom Selatan Thailand, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan
Kos sara hidup, pelaburan jadi fokus Belanjawan 2027: Fahmi
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri