Penarafan A3 Moody bukti asas ekonomi Malaysia kekal kukuh

July 14, 2026 · Isu semasa

Malaysia terus menerima keyakinan pasaran antarabangsa apabila agensi penarafan kredit global, Moody Ratings, mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A3 dengan tinjauan stabil, sekali gus memberi isyarat prospek ekonomi yang kekal kukuh meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Dalam semakan berkala terbaharunya, Moody menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding negara lain yang memiliki penarafan setara.

Jangkaan itu dipacu oleh ekonomi yang pelbagai, daya saing tinggi, prospek pertumbuhan sederhana yang kukuh, sumber asli mencukupi serta simpanan domestik yang besar.

Agensi itu turut berpandangan asas pelabur domestik yang kukuh terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan dan membantu mengekalkan kos pinjaman pada paras sederhana.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyifatkan penilaian itu sebagai pengiktirafan terhadap ketahanan ekonomi negara serta usaha kerajaan memperkukuh pengurusan kewangan.

“Penilaian ini mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia serta kemajuan dalam mengukuhkan disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil.

“Namun, perjalanan reformasi masih panjang dan kita tidak boleh alpa. Sebaliknya, ia perlu menjadi pemangkin untuk terus mempergiat usaha memperkukuh ekonomi demi manfaat rakyat,” katanya dalam kenyataan Kementerian Kewangan.

Menurut Moody, pertumbuhan ekonomi Malaysia disokong permintaan domestik yang memberangsangkan, terutama penggunaan dan pelaburan swasta, selain peningkatan eksport sektor elektronik.

Walaupun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat, turun naik harga tenaga global serta permintaan luar yang perlahan, agensi itu tetap menjangkakan prestasi ekonomi Malaysia mengatasi kebanyakan negara lain yang berkongsi penarafan sama.

Moody juga mengiktiraf langkah pembaharuan hasil sejak 2023 yang berjaya memperluaskan asas cukai kerajaan, sekali gus menyokong usaha konsolidasi fiskal walaupun kerajaan menanggung peningkatan subsidi tenaga dan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Selain itu, agensi berkenaan turut menilai institusi eksekutif dan perundangan Malaysia sebagai kukuh, disokong rekod dasar makroekonomi yang berkesan, pasaran pembiayaan domestik yang stabil serta persekitaran makroekonomi yang memberangsangkan.

Anwar berkata kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kestabilan domestik, kepastian dasar dan pelaksanaan reformasi ekonomi bagi memastikan asas pertumbuhan negara terus diperkukuh.

Laporan Moody’s turut selari dengan beberapa petunjuk ekonomi semasa negara. Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, manakala kadar pengangguran susut kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.

Untuk rekod, penarafan kredit berdaulat digunakan pelabur antarabangsa untuk menilai keupayaan sesebuah negara memenuhi komitmen kewangannya.

Pengekalan penarafan A3 dengan tinjauan stabil lazimnya memberi keyakinan kepada pelabur, membantu menarik pelaburan asing serta menyokong kos pembiayaan kerajaan dan sektor swasta pada kadar yang lebih kompetitif.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
2 jam lalu· Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
3 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
12 jam lalu· Isu semasa
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
12 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
3 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
10 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
10 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok