Sistem cukai mesti adil, golongan kaya tidak boleh terlepas: PMX

2 jam lalu · Isu semasa

Golongan berpendapatan tinggi dan memiliki sumber kewangan besar tidak boleh terus menggunakan pelbagai helah perakaunan serta lapisan urus niaga bagi menyembunyikan pendapatan dan mengelak tanggungjawab membayar cukai.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, amalan itu mencerminkan ketidakadilan dalam sistem percukaian apabila pekerja biasa yang memperoleh pendapatan melalui gaji terus menunaikan tanggungjawab membayar cukai, sedangkan golongan lebih kaya mencari ruang untuk mengelak kewajipan berkenaan.

Beliau menegaskan undang-undang percukaian perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau kemampuan kewangan seseorang.

“Tidak adil sekiranya pekerja yang jujur terus membayar cukai daripada pendapatan mereka, sedangkan pihak yang memiliki sumber kewangan lebih besar terus menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai lapisan urus niaga dan helah perakaunan.

“Keadilan menuntut supaya undang-undang percukaian dilaksanakan secara saksama,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 di Menara HASiL, di sini, Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keadilan percukaian merupakan antara asas penting dalam membina negara yang berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

Beliau turut mengambil contoh sejarah Britain menerusi pelaksanaan People’s Budget 1909 oleh bekas Menteri Kewangan Britain, David Lloyd George yang memperkenalkan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya dan pemilik harta bagi membiayai pencen warga emas.

Menurutnya, langkah itu pada awalnya mendapat tentangan golongan bangsawan, namun akhirnya diluluskan dan menjadi antara asas pembentukan negara kebajikan Britain.

Malah, beliau turut merujuk pendekatan Saidina Umar al-Khattab dalam sejarah pentadbiran Islam yang menekankan prinsip keadilan ketika mengenakan cukai tanah atau kharaj.

“Beliau mengingatkan pegawainya supaya tidak mengenakan cukai yang melampaui kemampuan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata pelaksanaan sistem e-Invois menjadi antara instrumen penting kerajaan untuk memperkukuh ketelusan urus niaga serta mengesan ketidakpatuhan cukai.

Katanya, penggunaan teknologi dalam sistem percukaian bukan sekadar meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah perlu memastikan nilai kemanusiaan terus menjadi asas dalam membuat keputusan.

“Inilah teknologi yang mengangkat nilai manusiawi, bukan menggantikan pertimbangan manusia,” katanya.

Pelaksanaan e-Invois merupakan sebahagian daripada usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) memperluas pendigitalan sistem percukaian, meningkatkan pematuhan pembayar cukai serta mengurangkan ruang ketirisan hasil negara.

Berita berkaitan
Anwar beri amaran risiko serangan siber terhadap Malaysia
4 jam lalu· Isu semasa
Isu jalan luar bandar: Zafrul sindir ada pihak guna cybertrooper Vietnam
November 1, 2026· Politik
Dana kerajaan mesti sampai kepada rakyat, bukan bocor: PMX
November 1, 2026· Isu semasa
Putrajaya lulus hampir semua projek pembangunan Kelantan: Menteri Besar
November 1, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
November 3, 2026 · Isu semasa
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
November 3, 2026 · Isu semasa
Malaysia tiada komitmen ekstradisi Zakir Naik ke India: Saifuddin
4 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
23 jam lalu · Isu semasa
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
November 1, 2026
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok