Peguam Negara, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal kekal menjalankan tugas seperti biasa selepas penggantungan mereka oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim diputuskan tidak selaras dengan peruntukan undang-undang.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri itu tidak boleh dihalang daripada memasuki pejabat masing-masing atau menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.
Menurutnya, Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing berada pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
“Seksyen 29 Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kuasa melantik termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung tugas pegawai yang dilantik, termasuk membuat pelantikan sementara bagi menggantikan pegawai yang digantung.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang berkenaan, kuasa melantik dan menggantung tugas dalam perkara ini terletak pada SPA bagi Setiausaha Kerajaan Negeri dan SPKP bagi Penasihat Undang-Undang Negeri, bukannya pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Mohd Dusuki berkata, tindakan menggantung tugas kedua-dua pegawai berkenaan oleh kerajaan negeri tidak selaras dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri.
“Justeru, penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri itu tidak selaras dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri dan kedua-duanya seharusnya kekal menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Sebelum ini, Ismail memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan sebulat suara menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah berkuat kuasa serta-merta.
Susulan keputusan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pelantikan baharu dibuat.
Bagi urusan perundangan pula, Ismail berkata tugas berkenaan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara, sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan Jabatan Peguam Negara.
Namun, perkembangan itu kemudiannya mencetuskan persoalan mengenai bidang kuasa kerajaan negeri dalam mengambil tindakan terhadap dua jawatan kanan terbabit.
Jabatan Peguam Negara dalam penjelasannya menegaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah.
Menurut jabatan itu, perkara berkaitan pelantikan, termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan berkenaan, tertakluk kepada bidang kuasa SPA dan SPKP.
Perkembangan itu menjadikan isu penggantungan kedua-dua pegawai kanan negeri sebagai pertikaian berkaitan bidang kuasa perlembagaan dan pentadbiran Negeri Sembilan.
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan: Bernama
PN ambil tindakan undang-undang selepas digantung RoS: Takiyuddin
Semua kegiatan PN digantung selepas terima aduan Bersatu: RoS
PRN Melaka: Anwar sahkan PH sedia buka ruang kerjasama, bincang cari titik persamaan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum