Bersatu dakwa PAS yang rosakkan PN, desak jawab aduan RoS

October 6, 2026 · Politik

Konflik dalaman Perikatan Nasional (PN) terus memanas apabila Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa PAS cuba mengubah naratif dan meletakkan dirinya sebagai mangsa selepas berdepan kritikan berhubung pengurusan gabungan itu.

Beliau menyifatkan tindakan PAS sebagai seperti “manipulator narsistik” yang enggan menjawab persoalan pokok berhubung aduan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menurutnya, Bersatu mempunyai hak sebagai parti anggota PN untuk mempertahankan kedudukan serta membuat aduan sekiranya mendakwa berlaku pelanggaran terhadap Perlembagaan PN dan aturan gabungan itu.

“PAS sepatutnya menjawab persoalan asas, mengapa aduan ini dibuat kepada RoS. Sehingga hari ini, RoS masih mengiktiraf Bersatu sebagai anggota PN,” katanya dalam kenyataan media.

Tun Faisal mendakwa antara perkara yang menjadi asas aduan termasuk kelewatan melaksanakan keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN, tindakan yang didakwa membelakangkan keputusan MT PN, rundingan dengan pihak luar tanpa pengetahuan MT serta penafian terhadap hak Bersatu.

Beliau turut mendakwa PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan tidak melibatkan parti itu dalam beberapa mesyuarat berkaitan pembahagian kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, dalam keadaan itu Bersatu melihat RoS sebagai saluran sesuai bagi mendapatkan keadilan serta memastikan PN ditadbir mengikut perlembagaan dan aturan yang ditetapkan.

“RoS mempunyai bidang kuasa untuk memastikan sesebuah pertubuhan melaksanakan matlamat penubuhannya serta ditadbir mengikut perlembagaan dan aturan pertubuhan,” katanya.

Tun Faisal turut mengingatkan sejarah penubuhan PN dengan mendakwa Bersatu memainkan peranan utama dalam menggagaskan nama, logo, warna, perlembagaan serta proses pendaftaran gabungan berkenaan.

Beliau berkata Bersatu juga mempunyai hak untuk mempertimbangkan jalan keluar daripada kemelut itu, termasuk melalui saluran perundangan atau meneroka kerjasama baharu.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan seolah-olah Bersatu menjadi punca masalah dalam PN dan meminta PAS menjawab setiap aduan berdasarkan fakta serta dokumen.

“Tak perlu spin. Nafikan satu persatu aduan Bersatu seperti yang dibangkitkan ROS kepada Takiyuddin dengan bukti dan fakta,” katanya.

Beliau turut mencabar Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengemukakan minit mesyuarat, surat-menyurat serta dokumen berkaitan sekiranya PAS yakin tidak melakukan sebarang pelanggaran terhadap Perlembagaan PN.

“Persoalannya, ada atau tidak bukti dan dokumen menunjukkan PAS selaku Pengerusi dan pentadbir PN bertindak mengikut Perlembagaan PN serta undang-undang?” katanya.

Berita berkaitan
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026· Politik
Bersatu didakwa mahu lumpuhkan PN menjelang PRN Melaka: Takiyuddin
October 6, 2026· Politik
PRN Melaka: PN tunggu tarikh penamaan calon sebelum putus kerjasama
October 6, 2026· Politik
Bersatu guna logo sendiri, sedia bincang kerjasama di Melaka
October 5, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
October 10, 2026 · Politik
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
October 10, 2026 · Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
October 10, 2026 · Politik
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
October 10, 2026 · Politik
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
October 9, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok