Tuan Ibrahim Tuan Man.
Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk bertanding di lebih empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dengan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi sudah diadakan dan kini berada pada peringkat draf pertama.
“Melaka kita dah ada perbincangan peringkat awal, peringkat draf pertamalah. Tapi saya jangka dalam masa terdekat ini akan dimuktamadkan menerusi perbincangan dengan UMNO, dengan Barisan Nasional,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika ditanya sama ada PN akan diberikan empat kerusi seperti yang diperkatakan sebelum ini, beliau menegaskan jumlah yang disasarkan adalah lebih besar.
“Lebih daripada empat,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan PN berkemungkinan diberikan laluan untuk bertanding di empat kerusi DUN, iaitu Bemban, Bukit Katil, Paya Rumput dan Ayer Keroh.
Cadangan pembahagian kerusi itu dikatakan hasil rundingan awal membabitkan pemimpin PAS, termasuk Naib Presidennya, Idris Ahmad, dan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.
Bagaimanapun, rundingan berkenaan masih perlu dimuktamadkan sebelum sebarang keputusan rasmi mengenai pembahagian kerusi diumumkan.
Dalam perkembangan berkaitan, PN turut menunggu keputusan mahkamah berhubung isu penggunaan logo gabungan itu susulan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Tuan Ibrahim berkata, PN memohon mahkamah menentukan sama ada surat RoS berkenaan berkuat kuasa atau sebaliknya.
“Logo kita masih menunggu keputusan mahkamah Isnin depan. Untuk mahkamah buat keputusan, kita mohon mahkamah buat keputusan sama ada kuat kuasa atau tidak surat RoS,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.
Isu penggunaan logo menjadi penting kerana ia berkait dengan persiapan PN menghadapi PRN Melaka, termasuk identiti gabungan yang akan digunakan ketika berkempen.
PRN Melaka dijangka menjadi medan penting bagi parti-parti politik mengukur sokongan pengundi, selain menguji kerjasama antara parti menjelang perkembangan politik nasional seterusnya.
Keputusan mengenai pembahagian kerusi dan status penggunaan logo PN dijangka mempengaruhi strategi gabungan itu dalam menentukan pendekatan serta calon yang akan diketengahkan pada pilihan raya berkenaan.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum