Ketua Penerangan Parti Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Pertemuan antara Hamzah Zainudin dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand pada Disember lalu terus menimbulkan persoalan selepas seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan alasan kononnya pertemuan itu berlaku atas arahan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, alasan tersebut sukar diterima kerana pimpinan tertinggi parti termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak pernah dimaklumkan mengenai pertemuan berkenaan.
Menurutnya, tiada sebarang minit atau laporan daripada Sekretariat Orang Melayu yang menguruskan usaha penyatuan pemimpin Melayu itu disalurkan kepada parti.
“Dikatakan lawatan itu adalah jemputan rasmi berkaitan Sukan SEA. Namun peliknya, tiada sebarang perkongsian di media sosial dan tidak dilaporkan oleh mana-mana media,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tun Faisal turut mempersoalkan bagaimana Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikatakan mengetahui mengenai pertemuan itu sedangkan Muhyiddin dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta kepimpinan Perikatan Nasional tidak dimaklumkan.
“Sedangkan lawatan Hamzah ke Singapura sebelum ini dilaporkan media dan dimuat naik di platform media sosial,” tambahnya.
Kontroversi berhubung pertemuan tersebut timbul selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Hamzah terlibat dalam rundingan dengan Zahid bagi membentuk percaturan politik baharu tanpa pengetahuan atau kebenaran parti.
Hamzah bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa usahanya bertemu beberapa pemimpin Melayu, termasuk Zahid, adalah sebahagian daripada usaha menyatukan kepimpinan Melayu yang menurutnya dilakukan atas permintaan Mahathir.
Pertemuan di Bangkok yang dipercayai berlangsung antara 10 hingga 12 Disember itu hanya mula menjadi perhatian selepas pemecatan Hamzah daripada parti.
Tun Faisal berkata tempoh tersebut sebenarnya menyaksikan beberapa mesyuarat parti berlangsung, yang sepatutnya boleh dijadikan platform untuk mendapatkan mandat atau sekurang-kurangnya memaklumkan perkembangan kepada kepimpinan.
“Persoalannya, mengapa pertemuan antara Hamzah dan beberapa individu lain dengan Zahid di Bangkok perlu dirahsiakan, sedangkan ia didakwa program rasmi melibatkan ketua whip dan Ketua Pembangkang?” katanya.
Beliau menambah, jika benar ia merupakan program rasmi, tidak ada sebab untuk perkara itu disenyapkan.
“Jika benar program rasmi, mengapa tidak dilaporkan media dan tidak dimuat naik di media sosial? Kenapa disenyapkan?” katanya lagi.
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi