Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menjelang kedatangan tahun baharu 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh agenda reformasi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Dalam perutusan sempena tahun baharu, Anwar berkata Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan yang kukuh serta tekad yang jelas untuk memperkuat perpaduan nasional.
Menurut beliau, agenda reformasi bukan sekadar slogan, sebaliknya satu usaha berterusan yang memerlukan kejujuran, keberanian dan rasa ihsan dalam pentadbiran negara.
“Kita melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan yang utuh dan tekad yang jitu untuk terus memperkukuh perpaduan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Madani akan terus bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab, selain memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Anwar berkata keutamaan kerajaan adalah menjamin masa depan negara yang lebih terjamin, sejahtera dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.
“Kerajaan Madani akan terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan, serta beriltizam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya lagi.
Anwar turut mengajak rakyat Malaysia untuk bergerak seiring dan menyatukan tekad dalam membangunkan negara yang lebih adil dan makmur.
Menurutnya, kejayaan Malaysia Madani hanya dapat dicapai sekiranya seluruh lapisan masyarakat memainkan peranan bersama.
“Marilah kita bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad untuk menjayakan Malaysia Madani yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan, demi mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap tahun 2026 akan menjadi tahun yang lebih cemerlang dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. Anwar bersama isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menitipkan doa agar negara terus berada dalam keadaan aman, harmoni dan makmur.
“Saya dan Azizah mendoakan agar negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” katanya.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib