Kad pengenalan dan pasport baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menggunakan MyKad milik orang lain, termasuk ahli keluarga, untuk membeli petrol bersubsidi.
Tindakan itu disifatkan sebagai kesalahan serius yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata MyKad ialah dokumen pengenalan diri rasmi yang hanya boleh digunakan oleh pemilik sah.
“Penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, larangan itu selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut mengingatkan semua urusan pembelian bahan api perlu dilakukan sendiri oleh pemegang MyKad.
“Tindakan meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada pihak lain bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membawa implikasi serius kepada pemilik kad,” tambahnya.
Amaran itu dikeluarkan susulan beberapa kes penyalahgunaan MyKad bagi mendapatkan petrol bersubsidi.
Terbaharu, satu kejadian dilaporkan di Tumpat, Kelantan apabila seorang suspek ditahan kerana dipercayai menggunakan MyKad milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata kes tersebut kini dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan suspek turut disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.
Isu ini timbul ketika kerajaan memperketat kawalan terhadap penyaluran subsidi bahan api bagi memastikan ia hanya dinikmati oleh golongan yang layak.
Terpedaya peraduan gores dan menang, lelaki rugi RM2,470
Dewan Rakyat lulus peruntukan JPM, tujuh kementerian
Bantuan RM1,000: Lebih 15,000 pemandu teksi, kereta sewa layak terima
MA63: Kerajaan setuju serah kuasa pengurusan buangan kepada Sarawak
Bekas jurufoto Utusan berdepan masalah kesihatan terima bantuan Tabung Kasih Hawana
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum