Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa langkah penting berkaitan isu kritikal yang memberi kesan langsung kepada rakyat dalam Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, amanat tersebut akan berlangsung selepas Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada jam 9 pagi bagi membincangkan isu-isu mendesak yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
“Esok merupakan hari Isnin pertama bulan Januari dan Perdana Menteri memanggil mesyuarat khas Jemaah Menteri untuk membincangkan beberapa perkara terdesak.
“Selepas itu, beliau akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu pada jam 11.30 pagi bersama warga JPM,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25, hari ini.
Menurut Loke, amanat berkenaan dijangka menjadi platform utama untuk kerajaan mengumumkan langkah-langkah baharu yang lebih tegas dan berfokus, khususnya dalam usaha menangani tekanan ekonomi, cabaran pendidikan serta agenda reformasi institusi.
“Saya yakin esok akan ada beberapa pengumuman penting yang mencerminkan komitmen tinggi Perdana Menteri dan kepimpinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, isu ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama terutama dalam kalangan komuniti perniagaan yang berdepan persekitaran dan iklim perniagaan yang mencabar.
Katanya, antara perkara yang dijangka diberi perhatian ialah langkah menangani rungutan komuniti perniagaan termasuk isu pemulangan semula cukai serta inisiatif lain bagi merangsang keyakinan dan aktiviti ekonomi.
“Dalam isu ekonomi, komuniti perniagaan mengeluh tentang pelbagai cabaran. Saya percaya pengumuman positif akan dibuat esok untuk menangani isu kritikal seperti ini,” katanya.
Tambah Loke, Amanat Tahun Baharu itu bukan sekadar ucapan simbolik, sebaliknya akan menjadi garis panduan hala tuju negara sepanjang tahun ini dengan penekanan kepada pelaksanaan dasar dan tindakan susulan yang lebih berkesan.
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
Ringgit dibuka kukuh selepas isyarat positif perjanjian damai AS-Iran
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar