Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysia menyatakan sokongan penuh kepada Australia dalam memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ganas di Sydney dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya insiden itu dan menegaskan tiada sebarang alasan yang boleh menghalalkan keganasan terhadap orang awam, apatah lagi jika didorong oleh perbezaan kaum atau agama.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Australia dalam menghadapi saat sukar ini, serta menyokong sepenuhnya segala usaha bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Menurut beliau, perbuatan ganas sedemikian sama sekali tidak mencerminkan mana-mana kepercayaan atau pegangan agama.
“Tindakan seperti ini tidak berlandaskan nilai kemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” katanya.
Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut, termasuk seorang penyerang, dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney.
Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, dilaporkan memaklumkan kejadian itu berlaku ketika satu acara Hanukah Yahudi berlangsung di lokasi berkenaan.
Pihak polis turut mengesahkan seramai 29 orang dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan, termasuk dua anggota polis yang dilaporkan berada dalam keadaan serius dan kritikal.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan kepada semua yang cedera.
“Saya amat terkejut dan berdukacita dengan serangan ganas di Sydney yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa serta mencederakan ramai pihak lain. Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ini,” katanya.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dan berharap semua yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya.” tambahnya.
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
RM33.4 juta bunga ganja dirampas, 12 ditahan: Polis Selangor
Remaja kes tikam sekolah Bandar Utama mahu kematian beramai-ramai, mahkamah diberitahu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum