Isu kontroversi RCI Tabung Haji.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sembilan laporan polis berkaitan kes jenayah komersial yang dikaitkan dengan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), sekali gus membuka lima kertas siasatan bagi meneliti dakwaan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Rusdi Mohd Isa berkata, laporan diterima daripada Lembaga Tabung Haji, anak syarikatnya serta orang awam, dengan siasatan kini dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
“Siasatan dijalankan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam keterangan saksi di dalam dan luar negara serta mendapatkan dokumen berkaitan bagi memastikan setiap dakwaan dapat disiasat secara menyeluruh.
Rusdi menegaskan PDRM komited menjalankan siasatan secara bebas, telus, profesional dan mengikut lunas undang-undang.
“Mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung siasatan tersebut.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu selepas Jemaah Menteri memutuskan untuk menyahklasifikasikan dokumen itu daripada status rahsia kepada dokumen terbuka.
Laporan setebal 211 halaman itu kemudian diterbitkan sepenuhnya tanpa sebarang tapisan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi portal rasminya.
RCI berkenaan ditubuhkan bagi meneliti pengurusan dan operasi kewangan Tabung Haji sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 susulan pelbagai dakwaan berkaitan tadbir urus, pelaburan dan pengurusan kewangan institusi itu.
Pendedahan laporan tersebut membuka ruang kepada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa, termasuk siasatan jenayah sekiranya terdapat unsur salah laku atau pelanggaran undang-undang.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum