Polis membuka kertas siasatan berkait kempen PRN Negeri Sembilan.
Polis Negeri Sembilan akan memanggil Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan seorang pemimpin UMNO Rembau dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata siasatan bagi kedua-dua kes itu sedang berjalan dengan beberapa saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Setakat ini siasatan masih berjalan. Kita telah merakam percakapan beberapa orang saksi dan akan memanggil pemimpin PAS itu (Sanusi) dalam waktu terdekat bagi melengkapkan siasatan.
“Sebaik sahaja polis menerima dua laporan berhubung perkara terbabit, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya, lapor Sinar Harian.
Isu itu tercetus selepas Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), dilapor mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan orang Melayu ketika berucap dalam satu ceramah kempen minggu lalu.
Bagaimanapun, Sanusi menafikan dakwaan ucapannya berbaur perkauman dan mendakwa kenyataan itu telah diputar belit untuk kepentingan politik.
Beliau turut memaklumkan surat tuntutan sudah dihantar kepada pemimpin PKR, Dr N Sathia Prakash dan tindakan sama akan diambil terhadap individu lain yang didakwa memanipulasi ucapannya.
Dalam perkembangan berasingan, Alzafny berkata polis turut meneruskan siasatan terhadap Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Shamsuddin berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh institusi Istana Negeri Sembilan.
“Seperti mana yang dimaklumkan sehingga malam tadi (Selasa) polis telah menerima 11 laporan berhubung kes berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa saksi juga sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan, beberapa kenyataan melibatkan pemimpin politik mencetuskan kontroversi sehingga membawa kepada laporan polis.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi peringatan kepada semua pihak supaya mengelakkan ucapan yang boleh menyentuh isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja demi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman.
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
Anwar tegas martabatkan bahasa Melayu, perluas penguasaan bahasa asing
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat