Kes Polis.
Polis mengesahkan sedang menyiasat dakwaan isteri Albert Tei mengatakan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan pistol ke arah suaminya dan dirinya ketika serbuan di kediaman mereka di Puchong, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata satu kertas siasatan telah dibuka susulan laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan pada 28 November lalu, lebih dua minggu selepas insiden itu didakwa berlaku.
“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menerima laporan daripada seorang wanita pada 28 November berhubung operasi serbuan dan tangkapan oleh pasukan penguat kuasa SPRM terhadap suaminya di bawah Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shazeli, pengadu mendakwa semasa operasi dijalankan, seorang anggota SPRM telah mengacukan senjata api ke arah dirinya dan suaminya.
“Susulan dakwaan itu, pihak polis telah membuka satu kertas enkuiri bagi menyiasat perkara berkenaan. Siasatan akan dijalankan secara profesional dan telus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua pihak terlibat akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, orang ramai diminta memberi ruang kepada polis untuk menjalankan tugas serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum ini, dilaporkan SPRM menyerbu rumah ahli perniagaan tersebut pada 28 November, menahannya dan menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Isterinya, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, kemudian menyuarakan kebimbangan mengenai cara operasi dijalankan.
Lee mendakwa pasukan serbuan memecah masuk melalui pintu utama sebelum suaminya digari, selain mendakwa seorang anggota mengacukan pistol dari jarak tertentu.
Selepas itu, ahli keluarga lain diarahkan berkumpul di satu kawasan lain di dalam rumah.
Menurutnya lagi, beberapa telefon bimbit termasuk milik anak-anak turut dirampas, dengan alasan untuk memadam video dan gambar daripada peranti berkenaan.
Polis kini meneliti semua dakwaan tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang berjalan.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib