Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah menerima trofi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 di Geneva.
Rangka kerja pembangunan kemahiran 5G ASEAN yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinobatkan sebagai projek pemenang pada World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 di Geneva, Switzerland.
ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform menerima pengiktirafan tertinggi bagi kategori Garis Tindakan WSIS C1, yang menilai peranan kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memajukan teknologi maklumat dan komunikasi untuk pembangunan.
Anugerah itu disampaikan sempena WSIS Forum 2026, yang menghimpunkan wakil kerajaan, kementerian serta pegawai kanan dari pelbagai negara.
MCMC dalam kenyataan berkata, kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju transformasi digital di rantau ASEAN.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kejayaan usaha kolektif negara anggota ASEAN yang diselaraskan di bawah kepimpinan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC dalam membangunkan rangka kerja kemahiran 5G serantau,” katanya.
Pencapaian itu juga menjadikan MCMC menerima pengiktirafan WSIS Prizes buat tahun kedua berturut-turut, selepas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) muncul pemenang pada 2025.
Pada Jun lalu, tiga inisiatif MCMC turut disenaraikan sebagai Champion Projects bagi WSIS Prizes 2026, termasuk rangka kerja kemahiran 5G ASEAN, Pelan Lima Tahun MCMC 2030 serta portal Sebenarnya.my.
Rangka kerja tersebut dibangunkan melalui kerjasama negara anggota ASEAN, pemain industri dan pakar serantau bagi membantu membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi perkembangan teknologi digital.
Ia telah diperakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN di Hanoi, Vietnam pada Januari lalu.
MCMC berkata, rangka kerja itu mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi melibatkan Power Skills dan Prime Skills, selain 12 jurang kemahiran utama.
Bidang diberi tumpuan termasuk infrastruktur rangkaian, pengkomputeran awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan, kejuruteraan data dan perkhidmatan digital.
Melalui program perintis pembangunan kapasiti, seramai 252 peserta dari kesemua 11 negara anggota ASEAN telah menerima latihan.
Menurut MCMC, program itu bukan sekadar memperkukuh kerjasama digital serantau, malah membantu menyediakan tenaga kerja ASEAN untuk memenuhi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Melalui kerjasama serantau yang erat dan komitmen bersama, ASEAN berupaya melahirkan inisiatif berimpak tinggi di peringkat global,” kata MCMC.
WSIS Prizes 2026 menerima 1,595 penyertaan dari 122 negara dan merekodkan lebih 2.2 juta undian awam di seluruh dunia.
Projek pemenang dipilih daripada senarai Champion Projects menerusi proses penilaian serta undian awam global.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum