Kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menggemparkan negara pada 2016.
Wang tunai dan harta bernilai kira-kira RM114 juta yang disita dalam kes rasuah serta salah guna kuasa membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016 masih berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata aset berkenaan belum boleh diserahkan kepada mana-mana pihak kerana proses rayuan kes itu masih berjalan di mahkamah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat SPRM, aset yang disita lazimnya kekal dalam jagaan agensi penguat kuasa sehingga semua prosiding undang-undang selesai dan keputusan mahkamah dimuktamadkan.
“Aset hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia selepas perintah pelucuthakan diperoleh daripada mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata, semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah memohon supaya semua wang dan harta yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Namun, mahkamah memerintahkan permohonan itu ditangguhkan sementara semua proses rayuan di mahkamah lebih tinggi diselesaikan.
Beliau menjawab pertanyaan Madius Tangau (Tuaran) yang meminta kerajaan menjelaskan lokasi wang rampasan RM114 juta dalam kes berprofil tinggi itu serta langkah untuk mengembalikannya kepada Kerajaan Sabah.
Madius turut membangkitkan isu wang berkenaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan peruntukan menaik taraf sistem bekalan air di Sabah, ketika negeri itu berdepan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan di beberapa kawasan.
Kes Jabatan Air Sabah menjadi antara skandal rasuah terbesar pernah disiasat di negeri itu selepas SPRM melancarkan operasi pada 2016. Siasatan ketika itu membawa kepada penemuan wang tunai, barang kemas, kenderaan mewah serta pelbagai aset lain yang dipercayai berkait dengan kegiatan rasuah melibatkan projek bekalan air.
Azalina berkata, pihak pendakwaan juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen.
“Perkara ini masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang keputusan berkaitan pelucuthakan atau penyerahan wang rampasan perlu menunggu keputusan akhir mahkamah bagi memastikan tindakan kerajaan mematuhi undang-undang.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum