Harga minyak dunia meningkat ekoran perang di Iran.
Nilai ringgit berdepan tekanan minggu lalu walaupun harga minyak dunia melonjak, apabila pelabur global beralih kepada aset yang dianggap lebih selamat seperti dolar Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis Bank Islam Malaysia berkata ringgit susut kira-kira 1.4 peratus minggu lalu meskipun Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus.
Menurut bank itu, tekanan terhadap ringgit sebahagian besarnya didorong ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, khususnya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ketegangan ini meningkatkan permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat, sekali gus menekan mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Situasi tersebut turut melonjakkan harga minyak global. Sehingga awal minggu ini, harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai tekanan inflasi yang berpanjangan di peringkat global.
Menurut Bank Islam, jangkaan inflasi yang lebih tinggi juga mengukuhkan pandangan bahawa Federal Reserve mungkin mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama.
“Pasaran kini menjangkakan pengurangan kadar faedah oleh Fed hanya berlaku pada separuh kedua 2026. Dengan OPR Malaysia kekal stabil, jurang kadar faedah antara Malaysia dan AS masih besar, sekali gus mengehadkan sokongan kepada ringgit dalam jangka pendek,” jelasnya.
Secara tradisinya, kenaikan harga minyak memberi manfaat kepada Malaysia kerana negara ini merupakan pengeksport bersih komoditi tersebut. Pendapatan eksport yang lebih tinggi biasanya membantu mengukuhkan kedudukan perdagangan dan menyokong nilai ringgit.
Namun kali ini kesannya berbeza.
Menurut Bank Islam, lonjakan harga minyak semasa krisis geopolitik lazimnya berlaku serentak dengan pengukuhan dolar AS kerana pelabur global memilih aset yang lebih selamat.
“Peralihan kepada dolar AS ini sebahagiannya mengimbangi kesan positif harga minyak yang lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.
Di dalam negara, harga tenaga yang tinggi juga boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan melalui peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api.
Bank Islam menganggarkan kos subsidi di bawah skim BUDI95 boleh meningkat sehingga sekitar RM44 bilion sekiranya harga minyak Brent mencecah AS$120 setong, jauh lebih tinggi berbanding anggaran semasa kira-kira RM11 bilion.
“Peningkatan ini berpotensi merumitkan usaha pengukuhan fiskal dan boleh mempengaruhi sentimen pelabur terhadap aset Malaysia,” katanya.
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
Lebih 200,000 penjawat awam mula kerja dari rumah esok
Krisis tenaga: Sultan Nazrin bertitah gesa seluruh rakyat bersatu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan