Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai “ubat” untuk memulihkan perpecahan orang Melayu yang menurutnya menjadi punca kekalahan gabungan itu dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, persefahaman yang dimeterai antara BN dan PN dibuat atas keyakinan gabungan tersebut mampu mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau turut menolak andaian BN akan kembali menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah selepas pilihan raya.
“Itu kau cakap, bukan saya. Tak ada apa-apa pun. Sebab kita yakin kita menang. Sebab itu kita buat persefahaman ini kerana kita mempunyai keyakinan tinggi.
“Kita pernah tewas dua kali, PRU-14 dan PRU-15, kerana orang Melayu berpecah.
“Sakit berpunca, mati bersebab. Puncanya kita berpecah-belah, kita kalah. Jadi kita sedar perkara itu. Sakit perut, makan ubat sakit perut. Itulah yang kita lakukan, satukan semula Melayu-Islam,” katanya dipetik laporan media.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keadaan politik di Negeri Sembilan berbeza berbanding Johor kerana tiada faktor penyatuan seperti konsep Bangsa Johor, sekali gus menjadikan perpaduan dalam kalangan parti Melayu lebih penting.
Menurutnya, perpecahan dan persengketaan sesama sendiri hanya melemahkan kekuatan politik sehingga menyebabkan kekalahan pada pilihan raya lalu.
Katanya, atas semangat persefahaman itu juga, BN sanggup menyerahkan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada PN mengikut prinsip parti yang menang di sesuatu kawasan akan terus mempertahankan kerusi berkenaan.
“Walaupun berat di hati, kita merelakan ada banyak kerusi majoriti Melayu kita serahkan kerana persefahaman kita. Siapa menang, itu kerusi dia.
“Tak timbul soal kita menyesal atau tidak. Itu persefahaman kita. Mana yang patut kita ambil, kita ambil. Mana yang patut kita bagi kepada rakan, kita bagi. Itu persefahaman yang amat baik,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang dibentuk antara kedua-dua gabungan itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan di kerusi masing-masing pada PRN Negeri Sembilan.
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
Aziz Bari gesa UMNO, PAS henti pertikai RCI Tabung Haji
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri