Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli.
Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih terbuka, walaupun Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menyatakan kecenderungan supaya BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata pendirian Akmal itu tidak semestinya menggambarkan keputusan muktamad UMNO atau BN berhubung kerjasama politik pada PRN akan datang.
Menurutnya, dalam politik setiap pemimpin mempunyai pendekatan dan pendirian tersendiri, justeru kenyataan berhubung kerjasama BN-PN tidak wajar dianggap sebagai penutup kepada ruang rundingan dengan PH.
“Belum ada rundingan rasmi. Sebelum ini hanya perbincangan biasa berkait hala tuju masing-masing pihak serta kesannya terhadap hubungan negeri dan Persekutuan.
“Berkenaan pendirian yang dinyatakan Akmal, dalam politik semua ada pendekatan dan pendirian masing-masing. Ia bebas untuk ditafsir oleh semua pemerhati,” katanya.
Adam Adli berkata pertemuan dengan Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebelum ini lebih menjurus kepada perkembangan politik negeri dan kesan terhadap hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan selepas PH menarik sokongan terhadap pentadbiran Melaka.
Katanya, perbincangan rasmi mengenai kerjasama menghadapi PRN Melaka dijangka menyusul, namun masa dan bentuk rundingan itu masih belum diputuskan.
“Beberapa pertemuan antara pimpinan PH akan diadakan selepas ini. Memang sentiasa ada pertemuan, cuma belum ada sebarang rundingan berkait pilihan raya. Kita cuma periksa ‘suhu’ sahaja,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan PH, khususnya PKR, bersedia menghadapi semua kemungkinan termasuk bertanding secara berasingan sekiranya tiada kesepakatan dengan BN.
“Mendepani pilihan raya negeri kali ini, kita ada beberapa pilihan. Tidak semestinya perlu ada penggabungan antara semua parti politik. Tetapi kita tidak mahu memberikan mesej yang salah kepada pengundi.
“Kalau ada rundingan, kalau mahu berunding, kita akan maklumkan secara terbuka dan kita tidak berselindung,” katanya.
Sebelum ini, Akmal menyatakan pendirian supaya dua parti Melayu terbesar, UMNO dan PAS, disatukan dalam menghadapi pilihan raya, sekali gus memberi gambaran beliau lebih cenderung kepada kerjasama BN-PN.
Perkembangan itu berlaku ketika PH dan BN sedang menilai bentuk kerjasama bagi PRN Melaka yang semakin menjadi tumpuan politik.
PH sebelum ini turut membentuk jawatankuasa rundingan diketuai Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan kemungkinan kerjasama dengan BN.
Bagi PKR Melaka, Adam Adli menegaskan parti itu tidak akan bergantung kepada satu bentuk kerjasama sahaja dan terus membuat persiapan bagi menghadapi PRN dalam apa juga keadaan.
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri