Parti Bersatu.
Bersatu Melaka tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti yang mempunyai persamaan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun enggan berkompromi dengan parti yang dianggap mengkhianati semangat kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, berkata semua bentuk rundingan dan kerjasama politik membabitkan Bersatu tetap tertakluk kepada keputusan Presiden serta kepimpinan pusat parti.
“Sebarang rundingan, persefahaman atau kerjasama politik yang melibatkan Bersatu adalah tertakluk kepada kebijaksanaan dan keputusan presiden serta kepimpinan pusat parti,” katanya dipetik FMT.
Menurutnya, perkembangan politik di Melaka kini memerlukan semua kemungkinan dinilai secara terbuka, termasuk berdasarkan pengalaman pilihan raya di negeri lain.
“Pengalaman dan keputusan pilihan raya di Negeri Sembilan dan Johor sudah tentu menjadi antara faktor yang perlu dinilai dengan serius oleh kepimpinan negeri dan pusat.
“Demi kelangsungan serta masa depan parti, semua senario politik perlu dikaji secara rasional dan terbuka,” katanya.
Hishamuddin berkata Bersatu Melaka bersedia membincangkan bentuk kerjasama yang mampu memenuhi kepentingan strategik parti selain memberikan pilihan lebih baik kepada pengundi.
“Sebarang perbincangan sedemikian, jika ia berlaku, harus dilihat sebagai sebahagian daripada proses politik yang matang dan pragmatik,” katanya.
Bersatu juga sudah menggerakkan jentera pilihan raya lebih awal dengan setiap bahagian diminta menyediakan laporan berkaitan kekuatan organisasi, landskap politik tempatan, calon berpotensi serta kerusi yang mahu ditandingi.
Dalam PRN Melaka 2021, Bersatu bertanding di 28 kerusi atas tiket PN dan memenangi dua kerusi iaitu Bemban serta Sungai Udang. Kedua-dua penyandangnya kemudian mengalihkan sokongan kepada Wawasan Negara susulan kemelut dalaman Bersatu.
Presiden Wawasan Negara, Hamzah Zainudin, pada 8 Ogos lalu berkata parti itu secara prinsipnya mahu mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.
Pada masa sama, landskap politik Melaka semakin menarik apabila PN dan BN meneroka kemungkinan kerjasama, manakala PH turut berusaha mencari bentuk kerjasama pilihan raya dengan BN.
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri