MCMC ambil tindakan terhadap pengendali platform X.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengesahkan sekatan sementara terhadap aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik selepas pihak platform itu melaksanakan langkah keselamatan tambahan seperti yang diminta pihak berkuasa.
Sekatan berkenaan sebelum ini dikenakan susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang tempatan, yang mencetuskan perhatian ramai memandangkan Grok merupakan aplikasi kecerdasan buatan yang semakin popular di kalangan pengguna media sosial.
Menurut MCMC, keputusan menarik balik sekatan dibuat selepas satu mesyuarat pada 21 Januari lalu melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC dan wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai langkah pencegahan yang diambil.
Platform X kemudiannya mengesahkan penambahbaikan keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi tersebut.
“MCMC telah menerima pengesahan awal daripada pihak platform X bahawa langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan. Berdasarkan perkara itu, sekatan sementara ke atas aplikasi Grok ditarik balik berkuat kuasa hari ini,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Walaupun akses telah dipulihkan, MCMC menegaskan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan semua keperluan undang-undang Malaysia dipatuhi sepenuhnya.
Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran pada masa hadapan.
“Keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan kami. Sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia tidak akan dikompromi dan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, Grok ialah aplikasi kecerdasan buatan yang dibangunkan untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat dan berinteraksi secara lebih pintar di platform X.
Peningkatan penggunaan teknologi AI sejak kebelakangan ini mendorong pihak berkuasa memperketat pengawasan bagi melindungi pengguna, khususnya daripada risiko kandungan berbahaya dan penyalahgunaan data.
AGC teliti dua kertas siasatan libatkan Azam Baki
Polis gagalkan cubaan seludup dadah RM57 juta di Muar
Bekalan minyak negara masih stabil: Amir Hamzah
RM50 juta disalur perkasa TVET 2.0: Anwar
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi