Sindiket SMS penipuan guna fake BTS digempur MCMC, seorang ditahan di Johor

2 jam lalu · Isu semasa

MCMC terus memperhebat perang terhadap jenayah penipuan dalam talian apabila berjaya menumpaskan satu lagi sindiket yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station atau Fake BTS) untuk menghantar SMS penipuan kepada orang ramai.

Dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Johor Bahru pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dikesan memandu sebuah kenderaan yang dilengkapi peralatan Fake BTS yang digunakan untuk memancarkan isyarat radio frekuensi (RF) bagi menyamar sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), taktik itu membolehkan suspek menghantar SMS mengandungi pautan laman sesawang palsu secara terus ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi syarikat telekomunikasi.

“Peralatan komunikasi tidak standard ini meniru isyarat rangkaian mudah alih, sekali gus menyebabkan mesej penipuan kelihatan seolah-olah dihantar oleh pihak yang sah,” menurut kenyataan MCMC pada Rabu.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu puncak bagi meningkatkan jumlah SMS penipuan yang dihantar kepada pengguna.

Setakat pertengahan tahun ini, MCMC telah melaksanakan lima operasi khas bagi membanteras kegiatan Fake BTS, termasuk dua operasi di Johor dan tiga lagi di Genting Highlands.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak empat modul GSM dipercayai digunakan dalam kegiatan itu telah dirampas, manakala empat individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 239, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah Peraturan 16 pula, hukuman yang diperuntukkan ialah denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

MCMC menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi yang digunakan untuk aktiviti penipuan serta jenayah siber.

“MCMC akan terus memperhebat operasi bersama PDRM bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi untuk tujuan penipuan dan jenayah,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menekan pautan yang diterima menerusi SMS, selain tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.

Kegiatan Fake BTS dikesan semakin menjadi ancaman di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila sindiket menggunakan peralatan pemancar mudah alih untuk menghantar SMS palsu secara besar-besaran.

Kaedah itu membolehkan mesej penipuan dipaparkan seolah-olah dihantar oleh bank, agensi kerajaan atau syarikat telekomunikasi, sekali gus meningkatkan risiko pengguna menjadi mangsa penipuan kewangan.

Operasi berterusan MCMC dan PDRM dilihat penting bagi mengekang penyalahgunaan teknologi komunikasi untuk tujuan jenayah.

Berita berkaitan
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
July 28, 2026· Isu semasa
CTPR: MCMC perkukuh kapasiti kawal selia digital Malaysia, ASEAN
July 27, 2026· Isu semasa
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
July 25, 2026· Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Laporan RCI Tabung Haji: Amaran BNM sejak 2014 tidak diendahkan, tanggung rugi RM10 bilion
July 29, 2026 · Isu semasa
Pelaku sebabkan kerugian Tabung Haji akan disiasat : PM
July 29, 2026 · Isu semasa
Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia
1 jam lalu · Isu semasa
Rosmah gagal gugurkan hakim kes solar, mahkamah tolak permohonan
3 jam lalu · Isu semasa
TH sudah laksana 75 peratus syor RCI, komited perkukuh tadbir urus
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
11 jam lalu
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
July 28, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok