Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali ramai kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpul dana awam berjumlah jutaan ringgit yang disyaki disalah guna.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mendedahkan risikan dan siasatan sudah dijalankan terhadap NGO terbabit, malah tindakan mahkamah dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Beliau meluahkan rasa kecewa apabila masih ada NGO yang mengambil kesempatan atas sifat dermawan rakyat demi mengaut keuntungan peribadi.
“Masih ada NGO yang menunggang isu agama dan kemanusiaan untuk mengutip dana berjuta-juta, tetapi wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi pengerusi. Mereka akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Menurut beliau, rakyat Malaysia yang mudah bersimpati sering menyumbang dengan niat membantu golongan memerlukan, namun keikhlasan itu dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, ada sumbangan yang dikatakan untuk mangsa bencana atau konflik luar negara, tetapi aliran wang sebenar menimbulkan tanda tanya.
“Rakyat menyangka duit itu sampai kepada orang susah, contohnya mangsa banjir atau konflik. Tetapi ada kes duit derma ditukar kepada emas. Persoalannya, kenapa dan ke mana wang itu pergi?” katanya.
Azam turut mempersoalkan peranan agensi berkaitan dalam memantau aktiviti NGO dan yayasan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Beliau menegaskan isu itu bukan tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian dan jabatan berkaitan.
“Ini duit rakyat dan rakyat tidak sepatutnya ditipu. Semua pihak perlu peka dan buka mata,” katanya.
SPRM sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap beberapa NGO berkaitan penyelewengan dana kemanusiaan melibatkan Syria dan Palestin dengan jumlah hampir RM100 juta.
Kes berkenaan membabitkan penyalahgunaan wang derma untuk tujuan peribadi, pembelian aset mewah dan pelaburan kripto.
Tindakan termasuk pembekuan akaun serta pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, dengan SPRM menegaskan pemantauan terhadap NGO yang kelihatan mencurigakan akan diteruskan.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
Lebih 200,000 penjawat awam mula kerja dari rumah esok
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan