Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan kos elektrik di pejabatnya bersama wakil Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB). Foto kredit: PMO
Kerajaan memperluaskan perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah segera bagi mengurangkan tekanan peningkatan bil elektrik yang dihadapi sebahagian isi rumah.
Menurutnya, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan mendapat pengecualian daripada beberapa komponen caj dalam bil elektrik.
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Anwar mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan kos elektrik di pejabatnya bersama wakil Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada TNB, PETRA dan ST atas tindakan segera yang membolehkan penambahbaikan perlindungan subsidi itu dilaksanakan.
“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera,” katanya.
Anwar juga berkata keadaan jerebu serta cuaca lebih panas kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.
Peningkatan penggunaan itu menyebabkan sesetengah pengguna melepasi paras 600 kWj sebulan, sekali gus berdepan kenaikan bil yang lebih tinggi.
Kerajaan kini memperluaskan paras perlindungan kepada 800 kWj bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini bagi mengurangkan kesan tersebut terhadap isi rumah.
Anwar berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik.
“Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” katanya.
Langkah itu memberi tumpuan kepada pengguna domestik dalam tempoh ketika permintaan elektrik meningkat susulan keadaan cuaca dan penggunaan peralatan elektrik untuk menyejukkan kediaman.
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum