Harga mingguan minyak.
Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion sepanjang 2026 sekiranya harga pasaran semasa bahan api terus kekal pada paras tinggi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan subsidi itu membolehkan rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.
Menurutnya, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi petrol RON95 dan diesel pada Januari serta Februari tahun ini, namun jumlah itu meningkat mendadak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April susulan kenaikan harga minyak dunia.
“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai jumlah terkini peruntukan subsidi petrol dan diesel.
Beliau berkata, selain individu, subsidi bahan api turut disalurkan kepada sektor strategik dan kritikal bagi memastikan kelangsungan ekonomi serta mengurangkan kesan kenaikan kos operasi.
Katanya, nelayan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, manakala penerima Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi dan peserta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 turut menerima manfaat bantuan kerajaan.
Anwar berkata, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi membantu lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia menghadapi kenaikan harga minyak dunia yang dipengaruhi ketegangan geopolitik dan konflik di Asia Barat.
Pada masa sama, SKDS 1.0 membolehkan sektor pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres memperoleh diesel pada harga RM1.88 seliter, selain diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak dengan harga RM2.15 seliter.
Beliau turut menjelaskan pengusaha bot, pengguna janakuasa serta pam air di kawasan pedalaman yang bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian juga layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Mengulas mengenai bekalan petroleum negara, Anwar memberi jaminan bekalan ketika ini kekal stabil dan mencukupi walaupun pasaran global masih berdepan ketidaktentuan.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.
“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan pendekatan subsidi bersasar bagi mengimbangi keperluan melindungi kebajikan rakyat dengan usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara, terutama ketika harga minyak mentah dunia terus dipengaruhi ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum