Penyelarasan harga subsidi RON95.
Bank Dunia menyifatkan langkah kerajaan melaksanakan subsidi bahan api bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 sebagai tindakan tepat dalam usaha mengimbangi tekanan fiskal negara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata pendekatan itu membantu memastikan bantuan subsidi diagihkan secara lebih adil dan efisien, terutama dalam keadaan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, pelarasan had kuota pembelian petrol kepada 200 liter sebulan menunjukkan usaha kerajaan untuk menangani ketidakseimbangan dalam sistem subsidi sedia ada.
“Subsidi bahan api di Malaysia bersifat regresif, dengan kumpulan berpendapatan tinggi seperti T10 dan T20 menerima manfaat lebih besar berbanding kumpulan lain. Mereka juga adalah pengguna utama bahan api, melebihi 200 liter sebulan,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menambah, penetapan kuota pada paras 200 liter adalah langkah munasabah bagi memastikan golongan berpendapatan tinggi membayar lebih, sekali gus mengurangkan ketirisan subsidi.
“Apabila kuota diselaraskan kepada 200 liter, ia membantu membetulkan ketidakseimbangan tersebut. Saya berpandangan ini adalah langkah ke arah yang betul,” ujarnya.
Sanghi berkata demikian ketika taklimat laporan “Malaysia Economic Monitor” edisi April 2026 yang memberi tumpuan kepada agenda pekerjaan dan produktiviti negara.
Bermula 1 April lalu, kerajaan menetapkan had kuota bulanan individu bagi pembelian petrol RON95 di bawah BUDI MADANI kepada 200 liter, berbanding 300 liter sebelum ini.
Langkah itu diambil susulan peningkatan risiko ekonomi global, khususnya akibat konflik berpanjangan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga minyak dan kedudukan fiskal negara.
Walaupun kuota dikurangkan, harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi memastikan pengguna tidak terkesan secara mendadak.
Mengulas lanjut, Sanghi berkata langkah tersebut bersifat jangka pendek, namun tidak menolak kemungkinan pelarasan tambahan sekiranya kedudukan fiskal negara terus tertekan.
Had umur 16 tahun bukan untuk sekat kebebasan bersuara: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
Nahas helikopter Kalimantan Barat: Rakyat Malaysia terkorban dikenal pasti
Harga minyak dunia turun selepas pembukaan Selat Hormuz
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan