Tabung Haji bayar bonus besar RM220 juta ketika defisit: RCI

6 jam lalu · Isu semasa

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan pembayaran bonus berjumlah RM220.7 juta kepada kakitangan dilakukan antara 2014 hingga 2017 walaupun institusi itu berdepan masalah kewangan yang serius.

Menurut laporan tersebut, pembayaran bonus yang melebihi dua bulan gaji memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. Sepanjang tempoh berkenaan, portfolio itu disandang oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak, manakala Husni Hanadzlah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Kedua sehingga 2016 sebelum digantikan Johari Abdul Ghani.

RCI bagaimanapun tidak menyatakan individu yang meluluskan pembayaran bonus tersebut kerana ketiga-tiga bekas pemimpin berkenaan tidak dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya.

Laporan itu turut mendedahkan TH membayar keseluruhan bonus sebanyak RM367.7 juta sepanjang 2010 hingga 2017. Daripada jumlah itu, RM220.7 juta dibayar dalam tempoh 2014 hingga 2017 ketika nilai aset TH dilaporkan lebih rendah berbanding liabilitinya.

“Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan yang dihadapi oleh LTH bermula pada tahun 2014 hingga 2017 di mana nilai aset adalah lebih rendah daripada liabiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh Jabatan Audit Negara, ini membuktikan bahawa pemberian bonus dengan jumlah yang tinggi oleh LTH adalah tidak wajar,” menurut laporan RCI.

RCI menjelaskan bonus tersebut dibayar kepada kakitangan eksekutif dan bukan eksekutif, namun laporan itu tidak memperincikan jumlah yang diterima setiap kumpulan atau sama ada ahli lembaga pengarah turut menerima bayaran berkenaan.

Ketika itu, pengerusi TH ialah Abdul Azeez Abdul Rahim yang memegang jawatan tersebut dari 2013 hingga 2018, manakala portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia hal ehwal Islam disandang Jamil Khir Baharom.

Menurut keterangan Kementerian Kewangan kepada RCI, sebarang pembayaran bonus melebihi dua bulan perlu dinilai berdasarkan prestasi kewangan TH, produktiviti, kedudukan liabiliti serta syor daripada lembaga pengarah dan menteri yang bertanggungjawab terhadap institusi itu.

RCI turut mendedahkan keuntungan yang digunakan untuk menyokong pembayaran bonus dan hibah dalam tempoh berkenaan sebenarnya dipengaruhi amalan “perakaunan kreatif”. Pengurusan TH didakwa menggunakan nilai aset boleh realisasi berdasarkan anggaran dalaman yang belum diaudit bagi meningkatkan kedudukan kewangan organisasi secara buatan.

Menurut laporan itu, pendekatan sama turut digunakan untuk membolehkan pembayaran hibah yang tinggi kepada pendeposit walaupun kedudukan kewangan sebenar TH berada dalam keadaan lemah.

Sebagai latar belakang, RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu tadbir urus dan pengurusan TH selepas timbul pelbagai dakwaan mengenai ketidakpatuhan terhadap Akta Tabung Haji serta kedudukan kewangan institusi itu dalam tempoh 2010 hingga 2020.

Antara fokus siasatan ialah pembayaran hibah, bonus kakitangan, urus niaga aset dan keputusan pelaburan yang didakwa menjejaskan kestabilan kewangan TH.

Laporan itu turut memaklumkan suruhanjaya hanya mengambil keterangan daripada beberapa pegawai kanan termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, berhubung proses kelulusan dan pengurusan kewangan TH.

Berita berkaitan
RCI TH didedah ikut proses, tunggu persetujuan Kabinet nyahklasifikasi: Fahmi
1 jam lalu· Politik
Laporan RCI Tabung Haji tamparan buat umat Islam, buka mata rakyat
4 jam lalu· Isu semasa
RCI Tabung Haji bukti politik perlu berasaskan fakta
4 jam lalu· Uncategorized
Anwar mahu episod kerugian Tabung Haji tidak berulang
5 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kenyataan fitnah, Anwar tuntut Tuan Ibrahim mohon maaf
July 30, 2026 · Isu semasa
KDN tunggu hasil siasatan isu ucapan Sanusi
4 jam lalu · Isu semasa
Kes hantaran palsu: Papagomo perlu bela diri September ini
6 jam lalu · Isu semasa
MCMC, LLM berganding bahu atasi kawasan internet lemah di lebuh raya negara
6 jam lalu · Isu semasa
Laporan RCI TH buktikan tuduhan terhadap saya tidak benar : Mujahid
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji
1 jam lalu
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
July 29, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok