Tak perlu RCI baharu siasat TH, pembangkang dikecam keluar dewan: IKRAM

August 13, 2026 · Isu semasa

Kerajaan tidak perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin berkata, siasatan sedia ada termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memadai sekiranya terdapat unsur penyelewengan atau pelanggaran undang-undang.

“Kalau RCI ditubuhkan untuk semua keadaan, tindakan itu akan menjatuhkan nilai RCI itu. RCI ini memang untuk kes yang betul-betul besar.

“Siasatan oleh pihak yang berwajib, contohnya SPRM sudah memadai. Yang penting, kalau ada penyelewengan dan tidak mengikut lunas undang-undang, perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program *The Nation* terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, semalam.

Kenyataan itu susulan gesaan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Gesaan berkenaan dibuat selepas RCI sedia ada hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH baru-baru ini mendedahkan institusi itu mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah.

Daripada jumlah itu, tujuh pelaburan dilaporkan mencatat kerugian 100 peratus, selain kerajaan menanggung RM10.2 bilion menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada 2018.

TH pula menanggung rosot nilai RM2.6 bilion antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.

Antara pelaburan yang menjadi perhatian ialah urusan membabitkan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd, dengan pembayaran 1.4 bilion riyal Saudi atau kira-kira RM1.5 bilion kepada orang tengah bagi memajak empat hotel di Madinah dan Makkah.

Badlishah Sham juga menyokong cadangan mewujudkan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat pelaburan berisiko dan memastikan kelemahan sama tidak berulang.

“Sebelum apa-apa pelaburan dibuat, perlu ada satu ‘due diligence’ yang betul-betul kredibel. Kita kena lihat akar umbi untuk memastikan pelaburan berasaskan etika dan prosedur yang betul,” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan Rakyat ketika perbahasan RCI TH, menyifatkannya tidak bertanggungjawab terhadap hampir 10 juta pendeposit TH.

“Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat untuk berada dalam Parlimen. Kalau tidak suka dengan seseorang atau kerajaan kemudian terus ‘walkout’, itu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu dan merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya dilaporkan sudah dilaksanakan TH setakat 30 Julai lalu.

Berita berkaitan
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
2 jam lalu· Isu semasa
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
18 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
1 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
2 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
2 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
4 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok