Tambang percuma bagi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Orang ramai boleh menikmati perjalanan percuma menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam selama sebulan apabila kerajaan mengumumkan tambang percuma bermula esok hingga 31 Julai ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu turut melibatkan perkhidmatan bas perantara di sepanjang laluan berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam.
“Sehingga 31 Julai, tambang perkhidmatan dan bas perantara Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran LRT Laluan Shah Alam hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu diharap dapat memberi peluang kepada orang ramai mencuba rangkaian LRT baharu selain mengurangkan kos perjalanan harian pengguna.
Selepas tempoh tambang percuma berakhir, kadar tambang LRT Laluan Shah Alam ditetapkan antara 80 sen hingga RM4.90 bagi pembayaran tunai, manakala pembayaran tanpa tunai dikenakan tambang maksimum RM4.30.
Seperti laluan Rapid KL yang lain, golongan kanak-kanak, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang layak terus menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus.
LRT Laluan Shah Alam merupakan projek pengangkutan awam yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang menerusi 20 stesen sepanjang 37.8 kilometer, termasuk 2.5 kilometer jajaran bawah tanah.
Laluan itu turut disambungkan dengan rangkaian LRT sedia ada melalui Stesen Glenmarie 2 yang menghubungkan Laluan Kelana Jaya serta Stesen Bandar Utama yang menghubungkan Laluan Kajang, sekali gus memperluaskan akses perjalanan pengguna di Lembah Klang.
Bagi melengkapkan sistem pengangkutan tersebut, sebanyak 40 bas perantara dan 44 van Rapid On-Demand disediakan untuk memudahkan perjalanan dari kawasan perumahan ke stesen LRT.
Selain itu, sebanyak 2,300 petak parkir disediakan di enam stesen bagi memudahkan pengguna yang memilih untuk memandu sebelum meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
LRT Laluan Shah Alam dijangka menerima kira-kira 67,000 penumpang setiap hari pada peringkat awal operasi, dengan jumlah itu disasarkan meningkat kepada hampir 118,000 pengguna sehari dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua UMNO Kangar bersama dua pengarah diarah bayar balik kes tiket umrah
MCMC sita peralatan komunikasi tak diperakui bernilai RM2.06 Juta
Bekalan bahan api cukup hingga Ogos, harga barangan terus dipantau
18,000 permohonan tambahan kuota diesel BUDI MADANI: MoF
PRN Johor: Polis buka tiga kertas siasatan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar