Telefon pintar.
Harga telefon pintar dijangka meningkat susulan kekurangan bekalan cip memori global yang semakin meruncing, didorong oleh lonjakan permintaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Penganalisis MBSB Research Foo Chuan Loong berkata, peralihan bekalan memori ke arah industri AI menyebabkan pengeluaran telefon pintar terjejas, sekali gus meningkatkan kos pembuatan dan harga jualan peranti.
“Pengeluar telefon pintar kini perlu menyesuaikan harga dan spesifikasi produk mengikut keadaan pasaran semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut beliau, kesan kenaikan harga itu dijangka paling dirasai dalam segmen pasaran rendah hingga sederhana, di mana pengguna lebih sensitif terhadap harga.
Sebaliknya, segmen premium dilihat lebih berdaya tahan berikutan margin keuntungan yang lebih kukuh serta rantaian bekalan yang lebih stabil.
Tambahnya, pengeluaran telefon pintar global bagi tahun 2026 dijangka menyusut, dengan anggaran awal menunjukkan penurunan yang lebih besar daripada jangkaan sebelum ini.
Data daripada International Data Corporation dan Counterpoint Research turut meramalkan penghantaran telefon pintar global akan merosot lebih 10 peratus, sekali gus berpotensi mencatatkan paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.
“Walaupun terdapat usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran memori, khususnya oleh pembekal di China, ia masih tidak mencukupi untuk menampung kekurangan yang dijangka berlarutan melepasi 2026,” jelasnya.
Permintaan tinggi terhadap cip memori dan logik terus dipacu oleh perkembangan pesat teknologi AI, pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Dalam tempoh sama, jualan semikonduktor global menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan AS$82.5 juta pada Januari dan meningkat kepada AS$88.8 juta pada Februari 2026.
Namun, ketidaktentuan geopolitik turut menjadi faktor risiko. Ketegangan berterusan di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat, berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
Minyak dunia berisiko melonjak AS$140 setong: Goldman Sachs
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum