Saifuddin Nasution Ismail.
Kerajaan memutuskan belum ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan pemain naturalisasi yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat kerana proses siasatan dan tindakan perundangan oleh pihak berkuasa masih berjalan.
“Pada masa ini, tiada keperluan untuk menubuhkan RCI kerana siasatan masih berlangsung. Namun, jika wujud keperluan munasabah pada masa hadapan, perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Isu ini tercetus susulan dakwaan bahawa beberapa pemain yang didaftarkan sebagai pemain warisan menggunakan dokumen kelahiran datuk atau nenek yang didakwa palsu bagi memenuhi syarat kelayakan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, FAM telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara untuk meneliti perkara itu secara menyeluruh.
Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan mendapati isu yang dibangkitkan lebih bersifat teknikal dan tidak mempunyai asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009,” jelas beliau.
FAM juga telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), manakala siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan status kewarganegaraan Malaysia dan kelayakan mewakili negara di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.
Katanya, istilah seperti “pemain warisan” atau kelayakan bermain tertakluk kepada Artikel 6 dan 7 Statut FIFA dan tidak menentukan taraf kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.
Menurut beliau, tujuh pemain terlibat diberikan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan melalui proses naturalisasi yang mensyaratkan tempoh pemastautinan, kelakuan baik dan penguasaan bahasa Melayu yang memadai.
“Perkara 19 tidak mensyaratkan dokumen hubungan kekeluargaan seperti sijil kelahiran datuk atau nenek sebagai asas permohonan naturalisasi,” katanya lagi.
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum