Kes Polis.
Polis menahan tiga pelakon bagi membantu siasatan berhubung penularan video pementasan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, pementasan itu sebenarnya berlangsung pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (PenangPAC), Pulau Pinang, namun rakamannya hanya kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, lima pelakon dikenal pasti terlibat dalam pementasan berkenaan, dengan tiga daripadanya sudah ditahan untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, tiga telah ditahan bagi membantu siasatan. Seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya pada sidang media Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 3.0 di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, pementasan berdurasi kira-kira 10 minit itu dipercayai diadakan secara tertutup dan tiada laporan polis diterima ketika ia dipersembahkan lapan tahun lalu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam masa sama, polis kini memburu individu yang memuat naik semula dan menularkan rakaman tersebut di media sosial.
“Hasil semakan terhadap telefon bimbit dan peranti milik individu yang ditahan tidak menemukan sebarang rakaman atau kandungan pementasan tersebut.
“Sebab itu kita sedang mengesan individu yang memuat naik dan menularkan video berkenaan kerana rakaman itu tidak ditemukan dalam simpanan mereka,” katanya.
M Kumar berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, dengan tangkapan dibuat di beberapa lokasi di Selangor dan Johor.
Siasatan turut merangkumi latar belakang penganjuran persembahan berkenaan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Kes itu mula mendapat perhatian selepas rakaman pementasan lama berkenaan kembali tersebar di media sosial sempena sambutan Hari Malaysia. Video tersebut memaparkan lima pelakon membaca prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dengan sindiran dan kenyataan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas laporan polis dibuat susulan penularan rakaman tersebut.
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum