Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan yang diterima.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata menjadi tanggungjawab RoS menjaga kepentingan anggota mana-mana pertubuhan yang berdaftar dengan pertubuhan tersebut di bawah Akta Pertubuhan 1966.
“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS.
“Dalam konteks ini, tentunya ada rungutan ataupun aduan yang dihantar oleh sebuah daripada parti gabungan itu menyebabkan penggantungan telah dilakukan,” katanya selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Ahmad Zahid berharap tindakan penggantungan itu dihadapi dengan tenang oleh PN dan parti yang berada di bawah gabungan itu sementelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjelang.
Beliau berkata PN pasti mempunyai perancangan sendiri jika penggantungan tersebut berterusan.
“Tentunya parti-parti gabungan itu akan menggunakan lambang parti masing-masing untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri Melaka atau pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Terdahulu, RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa pada 23 Sept lepas.
Menurut RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 Sept 2026. – Bernama
Wanita PKR gesa institusi raja tidak dijadikan medan politik
MB sahkan Exco Negeri Sembilan dilarang masuk pejabat selepas titah Tuanku
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan: Bernama
Penggantungan dua pegawai kanan Negeri Sembilan dipertikai, AG tegaskan kekal bertugas
Hubungan dengan Istana retak, Mahfuz persoal kedudukan MB Negeri Sembilan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum