Tindakan terhadap media kerana berkaitan isu 3R, bukan sekat kebebasan: Anwar

July 7, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa organisasi media bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya bagi menangani kandungan melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja atau 3R.

Beliau berkata, tindakan itu antara faktor yang memberi kesan kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026, apabila negara ini jatuh ke tangga 95 berbanding kedudukan ke-88 pada tahun lalu.

Menurut Anwar, penilaian oleh Reporters Without Borders (RSF) dibuat berdasarkan pelbagai indikator termasuk konteks politik, kerangka perundangan, keadaan ekonomi, persekitaran sosiobudaya dan keselamatan.

Antara kes yang diambil kira, katanya, membabitkan tindakan terhadap Sin Chew Daily berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang serta Sinar Harian berkaitan penyiaran biografi Ketua Polis Negara.

“Umpamanya, tindakan terhadap Sin Chew itu dianggap besar di dunia media kerana ia dianggap satu pelanggaran dari segi aspek kebebasan.

“Tetapi dalam soal bendera itu, diselesaikan dengan baik. Soal bendera negara, kita serius. Mungkin bagi negara lain kurang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menjelaskan faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan serta langkah untuk memperkukuh kebebasan media.

Anwar berkata kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang mengandungi fakta tidak tepat atau kritikan politik semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan penjelasan kepada masyarakat termasuk melalui Parlimen.

“Kalau kritik Perdana Menteri, kritik menteri atau kritik kerajaan, itu bukan kesalahan. Kita tidak boleh jadikan kritikan politik sebagai jenayah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah menambah baik kerangka undang-undang, termasuk melalui pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan kenyataan berbentuk sindiran terhadap Perdana Menteri atau pemimpin tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Namun, Anwar menegaskan kerajaan tetap terikat dengan pendirian yang dipersetujui bersama Majlis Raja-Raja, khususnya dalam menangani penghinaan terhadap institusi diraja serta kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Katanya, cabaran terhadap kebebasan media kini turut datang daripada tindakan platform media sosial memadam kandungan berdasarkan aduan pengguna dan dasar dalaman syarikat teknologi, bukan semestinya arahan kerajaan.

Beliau memberi contoh kandungan miliknya sendiri berkaitan Hamas yang pernah dipadamkan oleh platform media sosial, walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Kerajaan melalui MCMC boleh membuat permintaan atau tindakan tertentu, tetapi keputusan akhir tetap bergantung kepada dasar platform itu sendiri,” katanya.

Malaysia sebelum ini mencatat peningkatan ketara dalam indeks kebebasan media selepas perubahan kerajaan pada 2018, namun isu penguatkuasaan undang-undang komunikasi, tekanan terhadap organisasi media dan kawalan kandungan digital terus menjadi perhatian kumpulan pemantau antarabangsa.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
6 jam lalu· Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
14 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
16 jam lalu· Isu semasa
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
October 27, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
6 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
6 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
6 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
13 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok