Titah adendum: Najib fail permohonan hina mahkamah terhadap bekas AG

May 23, 2025 · Isu semasa

Satu permohonan dikemukakan Najib Razak bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh.

Permohonan menghina mahkamah terhadap Terrirudin itu dibuat peguambela Najib, Tetuan Shafee & Co pada 21 Mei dengan mendakwa beliau gagal mendedahkan wujudnya titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya bawah tahanan rumah.

Menurut pasukan peguam Najib, salinan titah tersebut disampaikan kepada Najib menerusi anaknya, Nizar, dan kesahihannya disahkan secara bertulis oleh Majlis Kesultanan Pahang pada 4 Jan.

Mereka mendakwa dokumen itu secara langsung ditujukan kepada Terrirudin, sekali gus menunjukkan bahawa beliau mengetahui kewujudan perintah tersebut.

Walaupun didakwa mengetahui perkara itu, peguam Najib berkata Terrirudin mengarahkan pegawainya menyatakan kepada mahkamah bahawa perkara itu hanyalah satu spekulasi, bersifat ‘fishing expedition’ dan berasaskan keterangan dengar cakap.

“Sebagai seorang penjawat awam, bekas peguam negara mempunyai kewajipan terus-terang (duty of candour) kepada mahkamah.

“Kegagalan sengaja untuk berbuat demikian menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah merupakan satu halangan terhadap keadilan itu sendiri,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, mereka turut mengakui sensitiviti prosiding tersebut dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi, agar mahkamah menentukan perkara itu mengikut proses keadilan yang sewajarnya.

Semasa pendengaran pada Januari lalu, peguam utama Najib, Shafee Abdullah, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa titah adendum itu dihantar oleh pihak istana kepada Terrirudin pada 29 Jan 2024.

Terrirudin, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu, sebelum ini mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan mengenai titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa titah adendum itu diterima oleh Terrirudin tetapi berkata ia telah dikembalikan kepada Istana Negara selepas Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Najib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah adendum itu, namun semua prosiding digantung sementara menunggu keputusan rayuan Peguam Negara di Mahkamah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2 Feb tahun lalu mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Berita berkaitan
Anwar: Lepas TH, Agong titah bongkar Felda
August 15, 2026· Politik
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
August 12, 2026· Politik
TH lulus beli pegangan dalam Putrajaya Perdana ketika dikawal Jho Low
August 12, 2026· Isu semasa
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
August 11, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
8 jam lalu · Isu semasa
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
14 jam lalu · Isu semasa
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
14 jam lalu · Isu semasa
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
17 jam lalu · Isu semasa
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
7 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok