Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Kedudukan Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan masih menjadi tanda tanya apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dilaporkan menitahkan beliau meneruskan tugas seperti biasa.
Laporan New Straits Times (NST) hari ini menyebut titah itu disampaikan selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, semalam.
Menurut laporan itu, hasil pertemuan berkenaan menunjukkan Ismail masih menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sementara urusan pentadbiran kerajaan negeri diteruskan seperti biasa.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak istana berhubung hasil pertemuan berkenaan atau status sebenar kedudukan Ismail.
Sebelum ini, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Isnin lalu.
Namun, laporan Malaysiakini semalam memetik sumber mendakwa Ismail sebenarnya belum mengemukakan peletakan jawatan secara rasmi kepada pihak istana.
“Setakat ini, perkara itu (peletakan jawatan) tidak berlaku. Beliau tidak meletak jawatan atau menyerahkan sebarang surat peletakan jawatan kepada pihak istana,” menurut sumber berkenaan yang enggan identitinya didedahkan.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir, mengumumkan Ismail sudah meletakkan jawatan menerusi kenyataan rasmi.
Zambry berkata, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Beliau turut memaklumkan Ahmad Zahid akan mengemukakan calon pengganti bagi jawatan Menteri Besar kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pihak istana menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan semalam menjelaskan kesahihan surat peletakan jawatan itu masih belum disahkan.
Istana turut menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pada pilihan raya itu, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan