Setiausaha UMNO Johor, Abdul Halim Suleiman.
UMNO Johor mengkritik tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang didakwa menyindir isu titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak di media sosial, dengan menyifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak matang.
Setiausaha UMNO Johor, Abdul Halim Suleiman berkata, tindakan tersebut tidak mencerminkan sensitiviti sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, apatah lagi apabila isu berkenaan melibatkan proses undang-undang yang masih berjalan.
“Ini bukan soal politik murahan. Ini soal adab dan tanggungjawab. Isu mahkamah bukan pentas untuk kejar ‘likes’ atau ‘shares’,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, isu serius tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran politik seolah-olah penderitaan, proses perundangan dan emosi rakyat boleh dipermainkan.
Kenyataan itu merujuk kepada satu hantaran yang dimuat naik Bee Yin pada Isnin, dipercayai berkait dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis, “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini.”
Keputusan itu dibuat beberapa jam sebelum hantaran berkenaan, selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.
Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau mempersoalkan sikap sesetengah pemimpin DAP yang lantang bercakap soal menghormati undang-undang, namun pada masa sama dilihat memperlekehkan proses perundangan.
Katanya, pendekatan sedemikian bukan sahaja boleh dilabel sebagai tidak wajar, malah berpotensi menimbulkan rasa meluat dalam kalangan rakyat.
“Kalau benar ikhlas mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, hentikan budaya menyindir dan bermain api dengan isu sensitif,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO Johor akan terus fokus kepada kerja dan kebajikan rakyat, sambil menyerahkan penilaian kepada masyarakat tentang tahap kematangan semua pihak.
Dakwaan tawaran AS jatuhkan kerajaan: Polis terima 12 laporan terhadap Hadi
Mahfuz: PAS jangan jadikan syurga sebagai umpan undi
Bukit Aman hubungi Hadi dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan Malaysia
PRN Melaka makin dekat, DUN bubar dua Jumaat lagi Rauf beri bayangan
AS nafi campur tangan, AMK desak Hadi tampil dengan bukti
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum